suria

Polis Tahan Khatib Kritik Polis Isu PPS

GEORGE TOWN: Polis menahan khatib yang didakwa mengkritik polis berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang menerusi khutbah Jumaat di Masjid Acheh Kebun Lama di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 44 tahun dan bekerja sebagai pegawai tadbir di Yayasan Islam Pulau Pinang itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur laut, di sini pada pukul 11.30 pagi ini untuk memberikan keterangan.

"Khatib yang juga pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Sik, Kedah itu akan dibebaskan dengan jaminan polis pukul 8 malam ini.

"Polis juga akan memanggil beberapa anggota jawatankuasa dan kariah masjid berkenaan untuk direkodkan keterangan dalam tempoh terdekat ini. Kes itu disiasat menurut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948," katanya di sini, Khamis.

Jumaat lepas, seorang lelaki yang mengaku anggota PAS membuat laporan polis terhadap khatib terbabit yang didakwa menyatakan sokongan terhadap PPS dan mengkritik kerajaan dalam menangani isu pasukan itu ketika menyampaikan khutbah Jumaat.

Lelaki itu yang turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan berkata perbuatan khatib itu mengundang rasa kurang senang jemaah yang hadir.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan berhubung PPS termasuk menambah beberapa perkara seperti yang dikehendaki Ketua Unit Pendakwaan (KUP) sebelum menyerahkan semula kertas siasatan itu untuk tindakan lanjut.

"Selasa lepas, pihak KUP pulangkan semula kertas siasatan itu mahu polis tambah beberapa perkara dan kami sedang lengkapkan. Dalam tempoh terdekat ini kami akan hantar semula kepada KUP," katanya.

Pada 31 Ogos lepas polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusinya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Sehari selepas itu, polis menahan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Delima RSN Rayer dan kemudiannya timbalan pasukan itu yang juga Anggota Parlimen Tanjong Ng Wei Aik pada Khamis.

Artikel Lain