KUALA LUMPUR: Kumpulan terakhir 17 rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir besar di Jammu dan Kashmir, India, dijangka pulang ke tanah air pada Isnin. Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Ahad berkata Malaysia Airlines (MAS) telah mengesahkan bahawa 16 mangsa akan berlepas dari New Delhi, malam ini (Ahad) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.55 pagi, Isnin. "Baki seorang lagi rakyat Malaysia akan diterbangkan keluar melalui Malindo Air," kata kenyataan itu. Kenyataan itu menyebut kumpulan terakhir rakyat Malaysia telah diterbangkan keluar dari kawasan yang dilanda banjir oleh Tentera India dan dibawa ke kediaman Gabenor pada Sabtu. "Dari sana, mereka diterbangkan ke lapangan terbang Srinagar dan kemudian ke New Delhi dengan menaiki penerbangan komersial. Mereka tiba di New Delhi malam tadi dan disambut dan dibantu oleh pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi," kata Wisma Putra. Menurut kenyataan itu, kerajaan melahirkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada kerajaan India atas kehilangan nyawa rakyatnya dalam apa yang diisytiharkan oleh kerajaan India sebagai bencana negara. "Kerajaan Malaysia juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan India atas semua bantuan dalam misi menyelamat ini apabila semua warga kita berjaya diselamatkan. "MAS dan Malindo Airways juga membantu untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas," kata kenyataan itu. Sebanyak 59 rakyat Malaysia terkandas di kawasan Himalaya itu yang kini dilanda banjir paling buruk dalam tempoh 60 tahun. Banjir itu setakat ini telah mengorbankan lebih 250 nyawa.