BATU PAHAT: Gara-gara menggunakan doa sebagai medan untuk 'mengutuk' Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan beberapa individu lain, perwakilan Wilayah Persekutuan, dibidas kerana mempersendakan agama. Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, perwakilan Kedah, Ridzwan Abu Bakar bertindak merampas mikrofon ketika sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini. Ridzwan menuntut Pengerusi Tetap PAS, Datuk Abu Kassim Abdullah supaya membuat keputusan berhubung tindakan wakil Wilayah Persekutuan, Dr Azhari Ariffin. "Harap Pengerusi Tetap buat ruling mengikut peraturan muktamar tentang sikap perwakilan Wilayah Persekutuan yang menggunakan doa sebagai saluran untuk menyerang orang. "Adakah ini adab dalam berdoa? Adakah ini dibenarkan dalam Islam kerana gunakan doa untuk serang orang lain. Pentas muktamar sepatutnya digunakan untuk membahas perkara dasar parti," katanya. Terdahulu Azhari mengambil masa hampir 30 minit iaitu melebihi tempoh yang dibenarkan untuk setiap pembahas berucap. Sejak awal ucapannya, Azhari mengajak peserta muktamar untuk menadah tangan berdoa supaya Allah memberi petunjuk kepada Mohamad. Turut menjadi mangsa 'serangan' Azhari ialah dua wakil rakyat PAS Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) kerana membelakangkan parti apabila menyokong pencalonan tunggal Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri mesar Selangor. Azhari turut menyifatkan Saari dan Hasnul sebagai ejen perosak dalam PAS apabila menggelarkan mereka umpama 'nila'. Walaupun beberapa kali cuba dihalang Pengerusi Tetap supaya menamatkan doa yang semakin meleret-leret, Azhari bagaimanapun enggan mengendahkannya. Akhirnya drama itu diredakan Pengerusi Tetap apabila memaklumkan bahawa isu yang dibangkitkan Azhari akan dijawab kepimpinan PAS Pusat pada sesi penggulungan esok (Sabtu).