PENGKALAN KUBOR: PAS menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor jatuh berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) disebabkan kesukaran pengundi luar pulang mengundi. Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kesukaran tersebut akan memberi kesan dan mempengaruhi keputusan pilihan raya yang akan diumumkan malam Khamis ini. "Secara logiknya akan jatuh, kerana ia melibatkan pengundi luar yang susah nak balik. Kalau naik tu kita rasa peliklah dan kita anggap luar biasa. "Kita yakin Umno pun akan berusaha untuk panggil pengundi luar balik mengundi," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS di sini, Rabu. Dalam hal ini, beliau sekali lagi membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak mempertimbangkan beberapa faktor sebelum menetapkan tarikh pengundian yang dibuat pada hari berkerja iaitu 25 September (esok). Katanya, keputusan SPR yang disifatkan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah alternatif dengan mengisytiharkan cuti peristiwa di Kelantan. Beliau berkata, SPR seharusnya menetapkan tarikh yang mampu membuatkan seramai mungkin pengundi, khususnya di Pengkalan Kubor untuk keluar mengundi kerana mengundi adalah hak setiap rakyat dan termaktub dalam Perlembagaan. "Pengundi di Pengkalan Kubor di luar Kelantan terpaksa balik dua kali kerana minggu depan raya Haji. Di Kelantan raya Haji lebih besar daripada raya puasa. "Di Kelantan kita beri cuti, tapi pengundi di luar Kelantan tak cuti, jadi mungkin tak dapat pulang. Kita juga bimbang jika majikan tak beri pelepasan kepada pengundi untuk balik mengundi," katanya. Satu lagi kebimbangan yang disuarakan beliau adalah mengenai 'banner' dan poster bersifat provokasi yang semakin banyak dilihat di kawasan pilihan raya. "SPR perlu proaktif ambil tindakan terhadap 'banner' bersifat provokasi yang diletakkan seolah-olah tak ada peraturan," katanya. Sementara itu, Timbalan Pengarah Jawatankuasa Operasi PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berharap SPR tegas dalam memastikan keselamatan peti undi pada Khamis. Katanya, peristiwa pada PRU-13 tidak sepatutnya berulang di mana petugas membawa peti undi dari pusat mengundi ke pusat pengiraan undi tidak menggunakan laluan yang digazetkan oleh SPR. "Kereta yang membawa satu peti undi di satu saluran di Parlimen Tumpat ditahan apabila menggunakan laluan hutan," katanya.