PETALING JAYA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memuji Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah status ekonomi maju kerana bidang keusahawanan yang semakin berkembang. Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Obama menganggap Malaysia sebagai contoh baik bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam di mana perubahan positif yang dilakukan tidak mengorbankan tradisi dan kepercayaan. "Kita melihatnya di Malaysia, di mana bidang keusahawanan yang berkembang mendorong ia disenarai sebaris dengan negara-negara maju," kata Obama dalam ucapannya. Beliau menyebut Malaysia sebagai contoh apabila bercakap bagaimana negara Arab dan Islam harus memberi tumpuan kepada apa yang dipanggil sebagai potensi luar biasa rakyat mereka, terutama golongan belia. Obama berkata, mereka membuktikan bahawa masyarakat berkembang apabila golongan muda mempunyai kunci untuk berjaya. Kunci tersebut termasuk sekolah yang baik, pendidikan dalam mata pelajaran matematik dan sains serta ekonomi yang dipupuk menerusi kreativiti dan keusahawanan. Obama berkata Amerika harus menjadi rakan kongsi kepada negara dan kerajaan yang mengalakkan wawasan seperti itu. Selain Malaysia, Obama turut memuji Indonesia, Senegal dan Tunisia dimana pihak sekular dan Islam bekerjasama melalui proses politik untuk menghasilkan perlembagaan baharu.