KUANTAN: Gara-gara bermain mercun yang dijumpai di luar rumah, seorang kanak-kanak lelaki hilang lima jari tangan kirinya apabila mercun tersebut meletup ketika sedang memegangnya, Selasa. Mohammed Haziq Syahmi Saharnizam, 9, dari Muadzam Shah, kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan lewat petang semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. Ibu mangsa, Zaiton Ismail,39, berkata, ketika kejadian pukul 12 tengah hari itu, dia sedang memasak di dapur. "Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat sebelum anak saya berlari menunjukkan tangan kirinya yang berlumuran darah. "Tanpa berlengah saya terus memanggil ayah di luar rumah lalu menghantar anak ke klinik kesihatan Bandar Tun Razak, Muadzam Shah seterusnya dipindahkan ke HTAA," katanya ketika ditemui pemberita. Mohammed Haziq dikatakan sedang bermain dengam adik bongsunya yang berusia lima tahun di luar rumah sebelum menjerit meluru ke dapur mendapatkan ibunya. "Saya tidak tahu di mana dia menjumpai mercun tersebut kerana kami memang tidak menyimpan barang berbahaya seperti itu dalam rumah. "Lebih-lebih lagi anak saya ini seorang yang aktif membuatkan kami sentiasa berhati-hati. Tetapi malang tidak berbau, kejadian ini berlaku sekelip mata tanpa disangka-sangka," katanya. Sementara itu, bapa mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Saharnizam, 48, berkata, dia kesal dengan penyebaran gambar anaknya di media sosial. "Tidak wajar gambar anak saya itu tersebar. Boleh dikatakan ia seumpama satu viral di Facebook serta Whatsapp. "Keadaan ini sedikit sebanyak membuatkan kami sekeluarga tertekan dan saya mohon agar perkara ini tidak diperbesarkan lagi,"katanya.