KUALA LUMPUR: Jenazah lima lagi mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS), Penerbangan MH17 akan tiba di Malaysia Jumaat ini di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8.30 pagi. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan di sini Rabu, berkata ini merupakan ketibaan kali keenam jenazah yang dibawa pulang ke Malaysia dari Amsterdam. "Jenazah berkenaan akan diberikan penghormatan ketenteraan sepenuhnya," katanya. Jenazah Muhammad Afruz Tambi, anggota keluarga terakhir keluarga Allahyarham Tambi Jiee yang terkorban dalam tragedi itu, akan tiba bersama-sama jenazah Liew Yau Chee, Lee Kiah Yeen, Meling Anak Mula dan Mathew Ezekial Sivagnanam. Liow berkata dengan ketibaan lima jenazah itu, 42 daripada warga Malaysia yang terkorban dalam nahas MH17, dibawa pulang dan diserahkan kepada waris mereka. "Setakat ini 27 penumpang dan 15 anak kapal telah dikenal pasti daripada sejumlah (43) rakyat Malaysia dalam penerbangan itu," katanya. Liow, yang juga Presiden MCA, menggesa semua rakyat Malaysia supaya menghormati privasi anggota keluarga dan waris mangsa MH17, ketika mereka melalui waktu sukar itu. "Tatkala mereka mengebumikan dan menyemadikan orang tersayang mereka, kami berdoa bahawa mereka akan mendapat keberanian dan kekuatan untuk melalui kehilangan tragik ini," katanya. Liow berkata Malaysia akan terus berusaha memastikan baki mayat akan dapat dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin untuk dikebumikan. Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak dan terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai. Selain warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.