suria

Pegawai Kastam Mengaku Tak Bersalah Terima RM1,000

Thevakumar (tengah) dibawa anggota SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat.
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat terhadap pertuduhan menerima wang berjumlah RM1,000 tanpa balasan daripada seorang individu tempatan, Mei lepas.


R Thevakumar, 38, Penguasa Kastam yang bertugas di Bahagian Import Eksport Cawangan Pelabuhan Selatan Kastam, Bagan Dalam, Pulau Pinang didakwa menerima wang tunai itu daripada seorang individu melalui akaun Maybank miliknya dengan mengetahui individu itu mempunyai urusan rasmi dengan jabatannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Jalan Manis Enam, Taman Segar, Cheras pada 3.55 petang 14 Mei lepas mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan bersubahat dengan Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Som Chit a/l Tiang, yang didakwa Isnin lepas terhadap empat pertuduhan menerima suapan antara RM1,000 hingga RM4,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap barangan yang tidak dibayar cukai iaitu arak.

Ooi Geim Leong, 41, didakwa bersubahat dengan Som Chit, 48, yang bertugas di Cawangan Siasatan Khas Kastam Putrajaya, dengan membenarkan pegawai Kastam itu menggunakan akaun miliknya untuk menerima rasuah berjumlah RM10,000 dalam tiga transaksi berasingan pada 29 Oktober 2013, 21 April dan 9 Jun lepas.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Ambank Taman Connaught, Cheras di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Sekyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan Ooi diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kedua-dua kes itu akan disebut semula pada 10 November ini. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin.

Kastam, Bagan Dalam, R Thevakumar

Artikel Berikut

Artikel Lain