suria

Politeknik Kini Bertaraf Dunia - Idris Jusoh

Idris (tengah) bersama peserta Malaysia yang mewakili negara pada pertandingan robot, Jumaat.
PUTRAJAYA: Politeknik di Malaysia sudah berkembang menjadi pusat pengajian hebat yang bukan sahaja cemerlang di dalam negara malah di peringkat dunia, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.


Beliau berkata, politeknik Malaysia menjadi institusi pertama mendapat anugerah emas dalam akreditasi Suruhanjaya Persijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC).

"Politeknik juga mendapat pengiktirafan Lembaga Teknologi Akreditasi Kanada (CTAB) dalam tujuh program kejuruteraan," katanya ketika melancarkan pasukan robotik Kementerian Pendidikan ke kejohanan 19th Fira Roboworld Cup and Congress China 2014 dan kejohanan Robot World Korea 2014 di sini, Jumaat.

Pada majlis berkenaan Idris turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada dua wakil kontinjen berkenaan.

Pasukan Politeknik Malaysia menyertai lima kategori pertandingan dalam kejohanan 19th Fira Roboworld Cup and Congress China 2014 yang akan berlangsung pada 5 hingga 10 November depan.

Pasukan yang bertanding terdiri daripada pegawai dan pelajar dari tiga politeknik iaitu Politeknik Seberang Perai, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan Politeknik Ungku Omar.

Sementara Politeknik Port Dickson dan Politeknik Sultan Azlan Shah mewakili Malaysia pada kejohanan Robot World Korea 2014 yang berlangsung pada 23 hingga 26 Oktober ini.

Fira Roboworld Cup and Congress merupakan acara tahunan yang diadakan sebagai platform pertandingan robot soccer serta pembentangan mengenai perkembangan teknologi robotik di peringkat antarabangsa.

Sementara kejohanan Robot World Korea 2014 merupakan kejohanan robotik yang dijalankan setiap tahun di Kintex City, Seoul yang melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak industri dan institusi pendidikan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain