PETALING JAYA: Sebuah bot terapung dikesan dekat pelantar minyak yang terletak di timur laut Pulau Mengalum, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. Abdul Aziz menerusi tulisannya di Twitter pada Isnin memaklumkan bahawa beliau menerima laporan daripada pelantar minyak berkenaan mengenai penemuan itu dan telah menghantar sebuah kapal, KD Lekiu untuk melakukan siasatan. "Pelantar ERB West yang terletak sembilan batu nautika di timur laut Pulau Mengalum, melaporkan melihat bot terapung awal pagi tadi. KD Lekiu dihantar untuk menyiasat," katanya di akaun Twitter miliknya di @ChiefofNavy. Kedudukan terakhir bot itu dikesan kira-kira 20 batu nautika timur dari Pulau Mengalum. Bot tempur CB90 yang dinaiki tujuh kru diketuai Leftenan Azri Bakar terputus hubungan dengan kapal pengiring KD Paus semasa dalam perjalanan ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah. Dalam satu kenyataan malam Ahad, Abdul Aziz berkata, bot tempur itu belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada pukul 5 pagi Ahad sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring tersebut pada 11.15 pagi.