suria

Presiden Persekutuan Veteran Sedunia Meninggal Dunia

PORT DIKCSON: Presiden Persekutuan Veteran Sedunia (WVF), Lt Kol (B) Datuk Hamid Ibrahim, 77, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Ahad malam.

Allahyarham meninggal dunia 10.15 malam akibat penyakit kanser hempedu dan hati. Bekas pegawai tentera itu meninggalkan seorang isteri Datin Samihani Abdullah, 74, dan empat orang anak.

Anggota Majlis WVF Malaysia Lt Kol (B) Zainal Abidin Mohd Dan berkata jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, untuk disembahyangkan pada pukul 8 pagi Isnin.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di pusara Rejimen Askar Melayu Diraja(RAMD), Port Dickson pada pukul 11 pagi. -

Turut hadir semasa majlis pengebumian itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkat Tentera Malaysia (ATM) Mej Jen Datuk Mohd Noor Daud, Pengarah Infantri Bri Jen Datuk Azlan Abd Rahman, Komandan Institut Pengurusan Tentera Darat Kol Rafizi Sharif serta anggota veteran, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya semasa hayatnya Allahyarham dipilih sebagai Presiden WVF yang berpangkalan di Paris, Perancis, sejak November 2000.

Zainal Abidin berkata selain pernah dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia selama sembilan tahun sejak 1978, Hamid juga pernah dilantik sebagai Senator selama dua penggal sejak 1983.

Katanya Hamid menjalani latihan tentera di Royal Military Academy Sandhurst pada tahun 1956 hingga 1957 dan berkhidmat dalam angkatan tentera Malaysia selama 21 tahun sebelum bersara.

"Allahyarham yang berasal dari Johor Baharu pernah berkhidmat di tiga batalion RAMD iaitu Batalion ke-5 RAMD, Batalion ke-4 RAMD dan Batalion Pertama RAMD," katanya. 

WVF, Datuk Hamid Ibrahim

Artikel Lain