suria

KKMM Pantau Salah Guna Media Sosial Untuk Keganasan

KEMAMAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia melakukan pemantauan berterusan bagi membanteras penyalahgunaan media sosial bagi tujuan keganasan dan merekrut keanggotaan pengganas antarabangsa.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata masyarakat dunia perlu sedar dan melihat secara serius bahawa media sosial boleh sewenang-wenangnya dijadikan platform bagi kebebasan bersuara yang dikhuatiri mendatangkan kemudaratan.

Beliau berkata sebahagian negara maju sudah tentu telah mengambil langkah sewajarnya dengan mempertingkatkan keupayaan untuk memantau bagi mengekang aktiviti keganasan yang mampu menggugat ketenteraman sesebuah negara.

"Pemantauan bukanlah sesuatu yang mudah kerana bilangan pengguna media sosial sekarang sudah mencecah ratusan juta dan pengguna setiap hari menghantar (memuat naik) gambar dan membuat komen.

"Malah kita dapati terdapat banyak laman sosial 'dark site' yang tidak boleh diakses secara biasa kerana ia dibenarkan kepada pengguna-pengguna tertentu sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis korban anjuran Parlimen Kemaman di dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Kubu dekat sini, Isnin.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyalahgunaan media sosial bagi penganjuran aktiviti keganasan antarabangsa.

Menurutnya laman sosial 'dark site' itu bertambah kompleks kerana ada sesetengahnya mempunyai kod khas yang hanya membenarkan pengguna tertentu sahaja mendapatkan sesuatu yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan dadah, senjata dan perkara berkaitan aktiviti keganasan.

Justeru, perkara ini memerlukan kepakaran yang dipertingkatkan oleh semua pihak, katanya.


KKMM

Artikel Lain