suria

Hanyut 30 Jam Tak Luntur Semangat Terus Kawal Perairan Negara

SELAMAT TIBA… Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar bersama lima anak kapal yang terselamat selapas hilang 30 jam di perairan Mengalum iaitu (dari kiri) LK I PAP Azhry Maani, BM JTP Nor Azuan Ariffin, Ketua anak kapal Bot tempur CB204 Lt Azri Bakar, BM TMK Ince anak Ewin dan LK KOM Sulhajji Daah (kanan) sebaik tiba di Jeti Pengkalan Wilayah Laut Dua di Kota Kinabalu, Rabu. -fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Pengalaman hanyut di laut bergelora di perairan Mengalum, Sabah selama 30 jam, tidak langsung mematah semangat tujuh anak kapal Bot Gempur CB204 untuk meneruskan tugas menjaga keselamatan perairan negara. 

Komander Bot Gempur CB204, Lt Azri Bakar berkata sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah menjadi kewajiban beliau dan rakan anggotanya yang lain untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan pada setiap masa. 

"Bila-bila masapun saya boleh belayar. Saya berjiwa TLDM," katanya kepada pemberita di sini hari ini sejurus tiba di jeti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar kira-kira jam 12.50 tengah hari. 

Ketibaan Azri dan empat anggotanya disambut Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar dan anggota serta pegawai TLDM lain. 

Turut menyambut Azri ialah isterinya Leftenan Komander Fazilah Makun, 29, juga anggota TLDM. 

Bot Gempur CB204, yang dalam pelayaran ke Stesen 5, Gususan Semarang Peninjau, Pulau Layang-Layang pada pagi Ahad, hilang dan hanyut sehingga ke kedudukan 50 batu nautika di Timur Pulau Layang-Layang selepas mengalami kerosakan injin dan gear kemudi. 

Selepas dapat dikesan, bot berkenaan ditunda ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 malam semalam (Selasa) dan tiba di sini Rabu. 

Selain Azri, enam anggota TLDM yang turut sama dalam pelayaran berkenaan ialah BK PAP Charles Cristopher Muni, BM TMK Ince anak Ewin, BM TMK Steven Hudson anak Miso, BM JTP Nor Azuan Ariffin, LK KOM Sulhajji Daah dan LK I PAP Azhry Maani. 

Menceritakan pengalamannya selepas terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring KD Paus, Azri dari Cheras, Selangor, berkata ombak pada ketika itu antara 2.5 hingga 3 meter menyukarkan komunikasi radio. 
 
Bagaimanapun pada hari Isnin, kira-kira jam 12 tengah hari, pihaknya dapat berhubung dengan kapal awam dan meminta mereka menyampaikan mesej kepada kapal TLDM untuk mereka melancarkan operasi mencari dan menyelamat. 

Azri yang baharu dilantik sebagai Komander Bot Gempur CB204 pada 18 Sept lalu dan merupakan pelayaran sulungnya mengemudi bot itu ke Stesen 5, berkata pasukannya bersyukur kerana akhirnya KD Paus dapat memintas komunikasi radio mereka dan seterusnya membolehkan lokasi mereka dikenal pasti. 

"Saya cuba beritahu rakan-rakan agar sentiasa berfikir positif," katanya. 

BM JTP Nor Azuan Ariffin, 34, dari Pahang, yang telah berkhidmat dengan TLDM selama 15 tahun pula menganggap pengalamannya itu bagaikan 'mati hidup semula' memandangkan bot tempur itu terputus hubungan komunikasi pada hari pertama. 

LK KOM Sulhajji Daah, 34, dari Tawau pula, berkata ingatannya hanya kepada isteri dan kedua-dua anak yang berusia tujuh dan lima tahun sepanjang tempoh 30 jam sebelum mereka dikesan. 
 
"Masa itu ingatan hanya pada anak isteri yang memberi semangat kuat...ketika itu langit sentiasa gelap langsung tiada matahari...kami dilambung ombak dan kadang-kadang rasa takut juga jika tiada bantuan datang dan kami akan karam," katanya di sisi kedua-dua anaknya Adam Haris, 7, dan Aidil Hafiz, 5. 

Sementara itu, LK 1 PAP Azhry Maani, berkata pengalaman itu amat berharga dalam menilai erti persahabatan antara anak-anak kapal yang terpaksa berkongsi bekalan makanan roti bersama air mineral. 

"Kami ketika memulakan perjalanan tiada rasa susah hati tetapi berjaga-jaga memandangkan cuaca hujung tahun musim hujan. Cuaca pada mulanya baik kemudian bertukar hujan lebat. 

"Apabila kami sampai di Perairan Mengalum, ombak bergelora besar dan kami tidak nampak apa-apa pada jarak jauh dan pada pukul 1 tengah hari kami terpisah oleh kapal induk...terus terputus hubungan," katanya di sisi isteri Rohaiza Abdul Halim. 
 
Azhry yang lapan tahun berkhidmat di TLDM berkata pengalaman pertama kali itu tidak akan dilupakan termasuk memberi pengajaran baharu kepadanya. 

"Kami sudah biasa meredah ombak sebelum ini, tetapi pada kali ini nasib kami kurang baik kerana gelombangnya lain dari yang lain," katanya.

Artikel Lain