Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail memberitahu Bernama di sini, Rabu, keadaan jerebu adalah sederhana dan tidak menjejaskan penglihatan untuk melihat fenomena gerhana itu.
"Jerebu tidak tebal. Ia tidak menghalang orang ramai untuk menyaksikan fenomena ini," katanya.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan hanya Tanjung Malim, Perak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu bacaan (112) setakat pukul 6 petang.
Bacaan IPU baik berada antara 0-50, sederhana (51-100), tidak sihat (100-200), sangat tidak sihat (200-300) dan berbahaya pada bacaan melebihi 300.
Sementara itu, menurut laman web Persatuan Falak Syari Malaysia, fenomena gerhana bulan penuh berlaku pada malam ini iaitu bersamaan 14 Zulhijjah.
Gerhana itu dapat dilihat dengan mata kasar bermula pukul 5.15 petang dan berakhir pada 8.34 malam.
Gerhana bulan akan hanya dapat kelihatan di seluruh Malaysia ketika waktu Maghrib, iaitu terbenamnya matahari di langit barat dan timbulnya bulan di langit timur.