KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi komitmen meneruskan usaha mewujudkan dunia bebas senjata nuklear bagi memastikan keselamatan dan masa depan yang terjamin untuk generasi akan datang. Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff berkata ia masih realiti yang menyedihkan bahawa pelucutan senjata nuklear yang menjadi agenda utama masyarakat antarabangsa, masih jauh untuk direalisasikan. "Kekurangan keazaman politik akan terus membantutkan usaha untuk mencapai persetujuan dan hasil produktif dalam pelbagai mekanisme khusus ke arah pelucutan senjata," katanya. Hussein berkata demikian ketika berucap pada Perbahasan Umum Jawatankuasa Pertama Perhimpunan Agung PBB sesi ke-69 di New York pada Rabu. Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini Khamis. Justeru, beliau berkata keperluan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai ancaman senjata nuklear kepada manusia adalah penting. "Pada tempoh ini sama ada penggubalan dasar pelucutan senjata telah dijalankan atau tidak dijalankan, mungkin sudah tiba masanya kita memberi perhatian yang lebih kepada saranan masyarakat sivil dan mempertimbang perspektif baharu dan pendekatan inovatif. "Dengan menambah pihak berkepentingan dalam usaha pelucutan senjata, mungkin wujud lebih banyak peluang bagi kita untuk mencapai hasrat konseptual dan perubahan sikap," katanya. Hussein berkata komitmen Malaysia untuk mewujudkan dunia bebas daripada senjata nuklear, telah mengukuhkan penyertaannya dalam Persidangan Pelucutan Senjata (CD), forum rundingan multilateral mengenai pelucutan senjata oleh masyarakat antarabangsa. Selaku presiden akhir CD pada tahun ini, beliau berkata Malaysia akan membentangkan laporan dan draf resolusi CD kepada Jawatankuasa Pertama semasa kluster mekanisme pelucutan senjata dan berharap dapat menerima pakai resolusi konsensus seperti tahun-tahun sebelumnya. Beliau berkata Malaysia juga percaya adalah penting Negara Senjata Nuklear (NWS) memberi jaminan tanpa syarat terhadap penggunaan atau ancaman penggunaan senjata nuklear. "Oleh itu dan bersama-sama dengan negara jiran Asean kita, Malaysia berharap dapat menandatangani Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara secepat yang mungkin," katanya. Hussein berkata saranan untuk perjanjian pengharaman nuklear juga berkait dengan naratif berterusan mengenai kesan kemanusiaan terhadap senjata nuklear. "Malaysia dengan tegas berpegang kepada pendekatan ini dan kami digalakkan oleh momentum yang dilihat semakin mendapat pengiktirafan dalam usaha ini," katanya.