Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata ini disebabkan oleh sejarah negeri itu, prasarana canggih dan ekosistem industrinya yang kukuh.
Bagi tempoh 2011 hingga September 2014, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) cawangan Pulau Pinang telah mempermudahkan lebih 200 lawatan daripada syarikat asing ke negeri ini.
"MIDA telah mengadakan pelbagai bengkel kerja dan taklimat mengenai Dana Strategi Pelaburan Domestik kepada persatuan industri dan syarikat di Pulau Pinang sejak dana itu diperkenalkan pada Julai 2012," katanya dalam satu kenyataan Ahad.
"MIDA telah mempelawa INVEST Penang menjadi penceramah di Persidangan Perkhidmatan.
"Selain itu, kami juga merancang menganjurkan Persidangan SEMICON awal tahun depan, kali pertama diadakan di Malaysia dan Pulau Pinang," katanya.
Mustapa mengeluarkan kenyataan ini sebagai membalas kenyataan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa Kerajaan Persekutuan dan MIDA telah berhenti mempromosikan pelabur ke negeri itu pada tahun lepas.
Beliau menyifatkan kenyataan Lim itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Tegasnya Kerajaan dan MIDA telah mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan sejak 47 tahun lepas dan tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana negeri.
Keputusan untuk melabur, antara faktor-faktor lain, katanya, ditentukan oleh penilaian syarikat terhadap lokasi tapak.