KOTA BARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Isnin diberitahu beberapa langkah telah diambil untuk merealisasikan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II iaitu hukum Hudud di Kelantan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata beberapa jawatankuasa tertentu membabitkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan juga telah ditubuhkan untuk mengkajinya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang mempersoalkan kerajaan negeri kerana masih mempolitikkan isu itu pada sesi soal jawab. "Kanun ini telahpun diluluskan dalam dewan ini lebih 20 tahun lalu ... saya ingin bertanya apakah kerajaan negeri lebih takutkan DAP atau siapa sebenarnya untuk melaksanakan undang-undang ini," soal Mohd Adhan. Sementara itu persidangan dewan juga dimaklumkan sebanyak 17 kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di negeri ini dengan 12 lagi masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata sebanyak 13,200 orang telah dijangkiti demam denggi itu sejak Januari lalu. Katanya pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan negeri antaranya mengadakan gotong royong perdana di lokaliti wabak selain mengadakan khutbah khas Jumaat tentang aspek kebersihan untuk mengelak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang menyebabkan demam denggi. "Kerajaan negeri bekerjasama dengan semua pihak demi menyedarkan rakyat untuk menjaga kebersihan," katanya ketika menjawab soalan Dr Md Yusnan Yusof (PAS-Melor).