KUALA LUMPUR: Operasi bas di terminal Hentian Putra akan ditamatkan dan dipindahkan ke lokasi baharu selewat-lewatnya Januari 2015. Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk J Loga Balan Mohan bagaimana berkata, lokasi baharu hentian bas bagi laluan pantai timur itu masih belum ditentukan. Menurut beliau, pada masa ini perkhidmatan bas di Hentian Putra hanya beroperasi di luar terminal kecuali kaunter tiket. "Hentian Putra yang digunakan sebagai hentian bas ekspres pantai timur mengalami kerosakan struktur paip air buat kali kedua. Oleh itu operasi bas dari terminal itu dihentikan mulai 8 Ogos lalu. "Pada masa ini operasi bas adalah di luar terminal kecuali kaunter tiket dan ruang menunggu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin. Beliau menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan berhasrat untuk menaik taraf kemudahan Hentian Putra yang sudah lama dan uzur. "Memandangkan terminal akan dipindahkan, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menaik taraf kemudahan di terminal ini. "Bagaimanapun penyelenggaraan biasa seperti tandas, penghawa dingin, lampu, surau dan kebersihan kawasan akan dilakukan seperti biasa sehingga tarikh pemindahan," katanya.