suria

Jurujual Kereta Diarah Bela Diri Kes Bunuh Bekas Penuntut UUM

PUTRAJAYA: Lelaki yang didakwa menyebabkan kematian Chee Gaik Yap yang mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel di Alor Setar, lapan tahun lalu akan menjalani perbicaraan penuh di hadapan Mahkamah Tinggi di sana.

Panel Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Linton Albert  sebulat suara mengetepikan pelepasan dan pembebasan seorang jurujual kereta, Shahril Jaafar dan meminta tertuduh membela dirinya.

"Kami memerintahkan dia (Shahril) turut diletakkan dalam reman dengan serta-merta," kata Linton pada Isnin.

Panel tiga hakim itu yang turut disertai Hakim Moktar Sidin dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli menetapkan 19 Oktober ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Bapa Gaik Yap, Chee Ah Sau yang menghadiri prosiding itu memberitahu wartawan bahawa dia berasa lega akhirnya kes itu dibicarakan secara penuh.

Pada 25 Jun, Mahkamah Tinggi Alor Setar melepas dan membebaskan Sharil daripada tuduhan membunuh Gaik Yap selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya diakhir kes pendakwaan.

Shahril,33, didakwa membunuh Gaik Yap dekat Kelab Cinta Sayang, Taman Ria Jaya, Sungai Petani antara pukul 5.30 petang, 14 Januari 2006 dan pukul 3.05 pagi, keesokannya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mangsa yang merupakan bekas penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) dibunuh dengan kejam selepas dipercayai dirogol dan mayatnya ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang.

jurujual kereta, bunuh, Chee Gaik Yap

Artikel Sebelum

Kelebihan Bahasa...

Artikel Berikut

Artikel Lain