suria

Pengguna Bimbang Transaksi Internet Tak Selamat

PETALING JAYA: Ramai pengguna mempertikaikan jaminan bank terhadap keselamatan Internet selepas mendapati kad kredit dan kad debit mereka digunakan dalam urus niaga dalam yang tidak sah.

Salasiah Razak terkejut apabila mendapati lebih separuh daripada gaji bulanannya 'lesap' selepas pergi membuat pengeluaran wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pada 2 Oktober lalu.

"Lambakan transaksi menggunakan kad debit saya dibuat pada 29 dan 30 September lalu, tetapi menurut pegawai bank, kebanyakan pembelian berharga antara RM4 dan RM200 dilakukan sejak Ogos lalu.

"Bank menganggarkan saya kehilangan hampir RM5,000, mungkin disebabkan oleh golongan muda atau gamers yang membeli perisian secara dalam talian," katanya.

Menurut Salasiah, selepas kad tersebut ditukar, satu lagi transaksi sebanyak RM400 turut dibuat.

Beliau kemudiannya membuat laporan polis dan menunggu hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak bank.

"Saya berharap agar duit tersebut dapat diperolehi semula. Saya tidak mahukan kad debit lagi," katanya.

Dalam masa lapan minit, N.Reena menerima enam khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bank memaklumkan bahawa lebih RM2,000 dicaj kepada kad kreditnya menerusi perkhidmatan bayaran dan pemindahan wang talian, PayPal pada 4 Oktober lalu.

"Mesej tersebut diterima pada pukul 1.20 pagi dengan transaksi sebanyak AS$1 menerusi PayPal.

"Saya tidak tahu pembayaran tersebut untuk apa kerana ia hanya menjelaskan mengenai perkataan 'Modernismau'.

"Kali terakhir saya menggunakan PayPal adalah ketika saya berada di United Kingdom pada Mei lalu," katanya.

Reena kemudiannya menerima satu SMS kira-kira pukul 2.18 pagi memaklumkan bahawa kad kreditnya disekat kerana disyaki digunakan untuk transaksi palsu.

Namun, satu lagi mesej diterima pada pukul 2.20 petang memaklumkan transaksi RM510.65.

Bank telah memberi jaminan bahawa dia tidak perlu membayar transaksi tersebut.

"Saya diminta untuk mengisi borang yang akan mereka hantar kepada saya," katanya.

Reena yang sering menggunakan perkhidmatan ipay88, dia sudah serik dan berikrar hanya akan menggunakan perkhidmatan pembayaran secara dalam talian jika benar-benar perlu sahaja.

Janice Oh juga antara salah seorang mangsa apabila kad kreditnya disekat oleh bank antarabangsa pada 28 September lalu selepas kad tersebut disyaki digunakan untuk transaksi palsu apabila sebanyak 53 pound (RM277) dibuat.

Biro Pengantaraan Kewangan mendaftarkan tiga kes melibatkan transaksi kad kredit secara dalam talian tidak sah baru-baru ini.

Jurucakapnya berkata, seorang pengadu mempertikaikan 14 transaksi yang dilakukan dalam laman web yang selamat dan kata laluan yang sah dihantar ke nombor telefon bimbit pengadu.

"Dalam pertanyaan itu, pengadu mengakui nombor telefon bimbitnya yang didaftarkan dengan bank adalah miliknya.

"Transaksi dalam talian dilakukan oleh anak lelaki pengadu tanpa pengetahuannya selepas bukti penggunaan ID log masuk.

"Dia akhirnya bersetuju menyelesaikan jumlah penuh yang dipertikaikan itu," katanya.

Pengurus undang-undang dan penyelesaian pertikaian Pusat Khidmat Aduan Pengguna Kebangsaan, Santhosh Kannan berkata penggunaan kad kredit dalam talian yang dipertikaikan adalah perkara biasa.

"Kami juga menerima banyak kes wang ditolak daripada akaun bank dan kad kredit yang digunakan untuk urus niaga tanpa kebenaran," katanya.

kad kredit, PayPal, kad debit

Artikel Sebelum

Artikel Lain