suria

Penulis Digesa Tangkis Serangan Golongan Liberal

Prof Tan Dri Dr M. Kamal Hassan
JITRA: Penulis tempatan perlu bersedia menangkis serangan golongan liberalisme yang menggunakan media sosial untuk mengelirukan masyarakat terutamanya penganut agama Islam.

Profesor Ulung Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Prof Tan Sri Dr M. Kamal Hassan berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama pada hari kedua Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 (SKPM 2014) di Kubang Pasu dekat sini hari ini.

Tanpa menjawab secara khusus soalan seorang peserta mengenai serangan golongan liberalisme agama termasuk yang terbaru, program "I Want to Touch a Dog", beliau berkata maklumat mengenai isu berkenaan perlu dikaji sebelum ia dapat ditangkis.

Katanya, ini penting agar isu tersebut tidak mengheret masyarakat ke kancah perselisihan dan menambahkan kekeliruan dalam masyarakat terutamanya golongan muda.

Terdahulu dalam ucaptama bertajuk "Penulisan Umum dalam Era Keruntuhan Tamadun Dunia Moden: Tanggungjawab Semakin Berat", Dr. Kamal berkata penulis harus menjadi penyelesai masalah dan bukan penambah masalah.
 
Beliau berkata, penulis terutamanya yang beragama Islam perlu mencari dan mengolah inspirasi dan idea untuk memahami dan seterusnya menjurus ke arah penyelesaian krisis moral tamadun moden dan sekular daripada pandangan alam Tauhid dan Wasatiyyah atau keseimbangan.
 
"Ini akan meningkatkan peranan penulis sebagai ejen transformasi bagi melonjakkan negara menjadi negara maju menjelang 2020," kata Dr. Kamal.

SKPM 2014 disertai lebih 200 orang terdiri daripada penulis, penerbit, aktivis sastera, bahasa serta budaya.

Berakhir esok, acara ini merupakan sinergi pintar antara anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Bina Darulaman Bhd, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia.

liberalisme, ISTAC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain