suria

Orang Dalam Mungkin Terlibat Penyeludupan Dadah Melalui Bungkusan

Chik Omar (dua, kanan) menunjukkan kotak bungkusan yang mengandungi tin makanan berisi dadah yang dirampas ketika mengadakan sidang media mengenai dua kes rampasan dadah dalam bagasi dan bungkusan pos dari Lagos di Kompleks Kastam KLIA di Sepang, Isnin. Foto BERNAMA

SEPANG: Penyeludupan dadah melalui kiriman bungkusan mungkin menggunakan taktik baharu dalam kegiatan mereka, iaitu menggunakan khidmat 'orang dalam' untuk mengambil atau melepaskan bungkusan yang tidak disertakan alamat dan nombor telefon yang betul.

Ia antara sudut pertimbangan siasatan Jabatan Kastam Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), ekoran penemuan satu kiriman bungkusan berisi dadah methaphetamine seberat 1.03 kg di gudang pos KLIA pada Selasa lepas dari Lagos, Nigeria.

Pengarahnya, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, pemeriksaan terhadap bungkusan itu mendapati dadah bernilai kira-kira RM194,940 itu disimpan dalam tiga tin makanan.

Alamat untuk bungkusan itu dihantar serta nombor telefon yang tertera bagaimanapun tidak wujud, katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

"Berdasarkan kes-kes sama sebelum ini, nombor telefon di parcel dapat dihubungi tetapi individu yang dihubungi mendakwa tidak mengetahui mengenai parcel (bungkusan) tersebut. Untuk kes ini nombor yang tertera langsung tidak dapat dihubungi...kita takut ada orang dalam yang akan ambil parcel itu," katanya.

Dalam kes berasingan, Chik Omar berkata, seorang lelaki warga China, 31, ditahan di klia2 berikutan penemuan dadah methapetamine seberat 2.68kg bernilai RM509,200 dalam bagasinya pada Rabu lepas.

"Hasil pemeriksaan bagasi, anggota kastam menemui dadah tersebut yang disorok dalam ruangan khas bagasi," katanya, sambil menambah lelaki tersebut tiba di Malaysia buat pertama kali.

Mengikut statistik Kastam KLIA, sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, Kargo KLIA merupakan lokasi tertinggi melibatkan rampasan dadah iaitu 194.5kg bernilai RM36.9 juta, diikuti KLIA (93.4kg bernilai RM13.8 juta), klia2 (47.9kg bernilai RM2.9 juta), Pusat Mel & Kurier (2.8 kgbernilai RM533,900) serta luar kawasan KLIA (1.6kg bernilai RM343,400).

Kastam KLIA, seludup dadah

Artikel Sebelum

Artikel Lain