KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno meragui motif himpunan yang akan diadakan di Universiti Malaya (UM) pada malam Isnin kerana ia tidak berbentuk ilmiah, sebaliknya sekadar memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpin politik. Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sayap parti itu sentiasa menyokong kebebasan mahasiswa untuk berpolitik tetapi bukan majlis yang dianjurkan untuk kepentingan peribadi seorang ahli politik. "Program ilmiah di kampus kita sokong seperti debat atau forum terbuka yang menyaksikan penyertaan tokoh-tokoh politik pembangkang. "Malam ini adalah pentas bagi seorang ahli politik menggunakan universiti untuk membangkitkan isu politik peribadi beliau, tak ada langsung soal dasar, polisi dan sebagainya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno di sini, Isnin. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan memberitahu, sayap parti jelas mengenai kebebasan mahasiswa untuk berpolitik tetapi ia harus dilakukan mengikut secara adil dan mengikut kesesuaian. "Bila dianjurkan program yang tak berbentuk ilmiah, yang tujuannya satu sahaja iaitu menghasut mahasiswa untuk menyampaikan mesej politik berat sebelah tanpa beri peluang untuk menjawab, saya rasa itu bukanlah satu majlis yang sesuai," katanya. Khairy berkata, beliau difahamkan, tidak semua mahasiswa selesa dengan kehadiran pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di UM yang dijadualkan pada malam Isnin. "Kita tak boleh kata bahawa Fahmi Zainul (Presiden Persatuan Mahasiswa UM) itu mewakili seratus peratus mahasiswa. "Ada persatuan mahasiswa yang jelas membuat pendirian jangan mempolitikkan kampus seperti itu," katanya. Anwar dijadual untuk hadir ke UM pada malam Isnin bagi menyampaikan pidato anjuran persatuan mahasiswa universiti itu.