suria

Seludup Dadah Di KLIA, Orang Dalam Dipercayai Terlibat

SEPANG: Penyeludupan dadah melalui kiriman bungkusan mungkin menggunakan taktik baharu dalam kegiatan mereka, iaitu menggunakan khidmat 'orang dalam' untuk mengambil atau melepaskan bungkusan yang tidak disertakan alamat dan nombor telefon yang betul.

Ia antara sudut pertimbangan siasatan Jabatan Kastam Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), ekoran penemuan satu kiriman bungkusan berisi dadah methaphetamine seberat 1.03 kg di gudang pos KLIA pada Selasa lepas dari Lagos, Nigeria.

Pengarahnya Datuk Chik Omar Chik Lim berkata pemeriksaan terhadap bungkusan itu mendapati dadah bernilai kira-kira RM194,940 itu disimpan dalam tiga tin makanan.

Alamat untuk bungkusan itu dihantar serta nombor telefon yang tertera bagaimanapun tidak wujud, katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

"Berdasarkan kes-kes sama sebelum ini, nombor telefon di parcel dapat dihubungi tetapi individu yang dihubungi mendakwa tidak mengetahui mengenai parcel (bungkusan) tersebut. Untuk kes ini nombor yang tertera langsung tidak dapat dihubungi...kita takut ada orang dalam yang akan ambil parcel itu," katanya.

Dalam kes berasingan, Chik Omar berkata seorang lelaki warga China, 31, ditahan di klia2 berikutan penemuan dadah methapetamine seberat 2.68 kg bernilai RM509,200 dalam bagasinya pada Rabu lepas.

"Hasil pemeriksaan bagasi, anggota kastam menemui dadah tersebut yang disorok dalam ruangan khas bagasi," katanya, sambil menambah lelaki tersebut tiba di Malaysia buat pertama kali.

Mengikut statistik Kastam KLIA, sepanjang Januari hingga Okt tahun ini, Kargo KLIA merupakan lokasi tertinggi melibatkan rampasan dadah iaitu 194.5 kg bernilai RM36.9 juta, diikuti KLIA (93.4 kg bernilai RM13.8 juta), klia2 (47.9 kg bernilai RM2.9 juta), Pusat Mel & Kurier (2.8 kg bernilai RM533,900) serta luar kawasan KLIA (1.6 kg bernilai RM343,400).

KLIA, Dadah

Artikel Berikut

Artikel Lain