IPOH: Datuk Yeoh Kian Teik, bapa kepada pelakon filem terkenal Tan Sri Michelle Yeoh meninggal dunia di sini pada Rabu akibat sakit tua. Yeoh, 89, yang juga bekas Pengerusi MCA Perak, dan seorang peguam, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6.15 petang. Pengerusi MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata pemergian mendiang merupakan kehilangan besar buat MCA serta masyarakat Cina khususnya. "Beliau merupakan seorang pemimpin yang disegani, berpegang teguh kepada prinsip dan setia kepada parti hingga ke akhir hayatnya. "Beliau seorang yang banyak menabur bakti dan sentiasa mengutarakan pandangannya serta seorang yang berterus terang," katanya. Kali terakhir Mah bertemu mendiang pada 23 Oktober lepas ketika menyambut hari kelahiran mendiang di kediamannya di Lebuh Lasam di sini. Semua ahli keluarga termasuk Michelle berada di sisi bapanya sebelum menghembuskan nafas terakhir.