suria

Vivekananda Ashram Ke Mahkamah Jika Perbincangan Gagal - Nazri

Mohamed Nazri Abdul Aziz.
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan membawa isu bangunan Vivekananda Ashram di Brickfields di sini ke mahkamah sekiranya usaha dan perbincangan untuk mewartakannya sebagai tapak warisan negara tidak berhasil. 

Menyatakan demikian, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Jabatan Warisan Negara sekali lagi telah mengemukakan tawaran kepada Lembaga Vivekananda Ashram untuk pewartaan itu.

Tawaran kali pertama pada 13 November 2008 ditolak. 

"Kami sedang menunggu maklum balas daripada pihak lembaga... memandangkan ia (bangunan itu) telah wujud sejak lebih daripada 100 tahun. 

"Kami juga akan bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) untuk berbincang bagaimana memastikan tapak itu dikekalkan.

"Tidak membenarkan mana-mana pemaju untuk melakukan sebarang perobohan ke atas bangunan bersejarah itu," katanya. 

Nazri bercakap kepada pemberita selepas melawat tapak bangunan yang berusia 110 tahun itu pada Rabu.

Menurut laporan media, Lembaga Pemegang Amanah Vivekananda Ashram merancang membangunkan semula tanah bangunan itu dengan membina menara apartmen 23 tingkat. 

Ini telah mencetuskan kontroversi, termasuk bantahan daripada masyarakat India di sekitar kawasan itu. 

Lembaga itu mempertahankan tindakannya dengan alasan untuk membantu menyediakan dana bagi sekolah dan badan amal di bawah jagaannya. 
Bagi kaum India, Swami Vivekananda Ashram adalah bukti kehadiran kaum India di negara ini sejak sekian lama.
 
Sekolah pertama yang dibina oleh Ashram pada 1914 menunjukkan kaum India telah lama menetap di negara ini - sejak sebelum Merdeka lagi. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain