suria

Remaja Lelaki Dibogelkan Gara-Gara Curi Motosikal

Remaja lelaki ini dibogelkan gara-gara mencuri motosikal. -
KOTA BARU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dibogelkan oleh orang ramai setelah ditangkap ketika cuba mencuri sebuah motosikal di perkarangan Masjid Pauh Lima, Binjai di sini.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam Selasa, suspek cuba mencuri sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 milik seorang jemaah yang sedang solat di masjid berkenaan sebelum kejadian itu disedari orang ramai yang terus menangkapnya.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa berkata suspek turut cedera di bahagian kepala, bahu serta lengan dipercayai dipukul orang ramai. 

"Mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini dan keadaannya stabil," katanya ketika di hubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes curi motosikal di sekitar Binjai dan Melor. 

"Menurut suspek terdapat seorang lagi rakannya yang berjaya melarikan diri ketika kejadian itu," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga setengah tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
 
Mengulas tindakan orang ramai membogelkan suspek itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata Islam menegah umatnya membuka keaiban seseorang walaupun orang itu melakukan kesalahan.

"Kita tak boleh mengambil tindakan sendiri yang menyimpang dari undang-undang negara dan hukuman tidak boleh diambil mengikut pandangan kita semata-mata," katanya.

Artikel Lain