Pengerusi Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusianya, Baljit Singh berkata, kenyataan Tian Chua itu menunjukkan dengan jelas PKR tidak menghiraukan integriti kehakiman dan nomokrasi (kedaulatan undang-undang).
Katanya, saranan Tian Chua agar demonstrasi besar-besaran diadakan juga dengan jelas merupakan perbuatan menghina mahkamah dan boleh diterjemah sebagai secara terang-terangan mencabar kedaulatan undang-undang negara, di samping amat bersifat provokatif dan tidak bertanggungjawab.
"Adakah ia merupakan ikrar terbuka PKR untuk mewujudkan keganasan dan anarki tanpa mempedulikan undang-undang? Beliau perlu menarik balik kata-katanya dan memberi penjelasan kepada orang ramai," kata Baljit dalam kenyataan di sini, Rabu.
Beliau juga menggesa ahli politik dan orang ramai supaya sentiasa menghormati undang-undang.
Katanya, Gerakan menentang sebarang demonstrasi yang melanggar sempadan undang-undang serta menganjurkan gangguan sosial.