PETALING JAYA: Seorang pesara kerugian RM100,000 apabila menyerahkan wang simpanannya kepada lelaki yang mendakwa sebagai anggota polis untuk menjamin anaknya atas kesalahan jenayah. Bapa berusia 60 tahun dari Seapark di sini itu menerima panggilan daripada telefon bimbit milik anaknya dan terkejut apabila lelaki yang bercakap itu bukan anaknya. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dari bahagian narkotik dan berpangkat inspektor serta mendakwa anak pesara itu yang berusia 32 tahun ditahan kerana terbabit dalam kegiatan dadah. Sambil mengarahkan pesara yang dalam kebingungan itu untuk meneruskan perbualan di telefon, 'inspektor' itu memberitahu pesara lelaki itu bahawa dia perlu membayar RM200,000 sebagai jaminan untuk membebaskan anaknya dari lokap. "Pesara itu merayu kepada lelaki bekenaan sambil menyatakan dia hanya mempunyai simpanan kira-kira RM100,000 dan suspek setuju dengan jumlah itu sebelum mengarahkannya supaya memasukkan wang itu dalam beg dan meletakkannya di sebuah kuil berdekatan medan selera SS2 di sini," kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim. Azmi berkata, pesara itu mematuhi arahan lelaki berkenaan dan apabila pulang ke rumah dan menghubungi anaknya, pesara itu terkejut kerana anak lelakinya berada di kolej, malahan tidak pernah ditahan polis. "Apabila dia sedar ditipu, ia sudah terlalu lambat, semua wang simpanannya lesap," katanya. Sejak Oktober, sebanyak 19 kes menggunakan modus operandi sama direkodkan di sekitar Selangor membabitkan kerugian kira-kira RM295,000 dengan mangsanya di kalangan warga tua. Azmi berkata, sindiket berkenaan menggunakan Voice Over Internet Protovol (VoIP) untuk mengklon nombor apabila menghubungi mangsa dan biasanya memperkenalkan diri sebagai Inspektor Wong atau Inspektor Faizal. "Mereka juga akan pastikan mangsa terus di talian supaya mangsa tidak menghubungi pihak ketiga untuk mengesahkan apa yang dinyatakan (penahanan ahli keluarga)," katanya. Katanya lagi, pihak polis tidak akan meminta wang jaminan daripada orang awam kerana ia urusan pihak mahkamah. "Pihak polis juga tidak akan meminta anda meninggalkan wang jaminan dalam beg di tempat awam," katanya.