suria

Bapa, Bekas Jurulatih Harap Chong Wei Dapat Terus Wakili Malaysia

Lee Chong Wei.
GEORGE TOWN: Rakyat Malaysia masih berharap pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan terus bermain walaupun sampel B beliau telah disahkan positif,  Dexamethasone. 


Ayahnya, Lee Ah Chai, 61 berkata beliau berharap Chong Wei akan dapat bermain mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik di Rio, Brazil pada 2016. 


Lee Ah Chai

"Doktor yang merawat beliau sudah pasti tahu bahan yang diambilnya dan kandungan ubat tersebut. 

"Sekiranya Persekutuan Badminton Dunia (BWF) masih mahu menghukum Chong Wei, tiada apa yang dapat diperkatakan kerana dadah telah ditemui dalam sampel air kencingnya," katanya ketika dihubungi pada Sabtu. 

Pengarah Majlis Sukan Pulau Pinang, Frederick Tan, yang merupakan pakar psikologi Chong Wei dari tahun 2007 hingga 2012, juga merupakan individu bertanggungjawab dalam menyelia diet dan makanan tambahan pemain badminton pada Sukan Olimpik di Beijing, 2008 berkata Chong Wei mungkin tidak mengetahui isi kandungan ubat yang diambilnya. 

"Dia seorang ahli sukan yang sihat, saya sangat mengenali beliau. Dia tidak akan mengambil dexamethasone tanpa sebab." 

Sementara itu, Teh Peng Huat yang juga jurulatih pertama ikon badminton negara itu turut melahirkan rasa terkejut dan kecewa apabila mengetahui keputusan sampel B Chong Wei yang disahkan positif ujian doping. 

Jurulatih berusia 77 tahun itu merupakan individu pertama yang mengasah bakat Chong Wei di pusat latihannya di Berapit, Bukit Mertajam pada mulanya enggan memberikan sebarang ulasan mengenai pemain kesayangannya itu. 

Namun selepas beberapa kali dipujuk akhirnya, Peng Huat akur. 

Teh Peng Huat

"Kali pertama keputusan sampel A diumumkan saya sangat terkejut dan tidak menyangka pemain seperti Chong Wei akan gagal dalam ujian doping. Saya juga berasa sangat kecewa kerana dia seorang ikon yang popular. Saya yakin dia tidak akan memperjudikan kariernya dengan mengambil bahan yang dilarang," kata Peng Huat. 

"Jika keputusan sampel A dan B positif, sudah pasti amat sukar untuk membuktikan dia tidak mengambilnya." 

Minggu lalu, Chong Wei diiringi Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dan Kenny Goh ke Oslo, Norway untuk menyaksikan sendiri analisis ujian Sampel B di makmal Hospital Universiti Oslo pada 5 November lalu.

Chong Wei dilaporkan positif ujian doping bagi Sampel A iaitu ujian air kencing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.

Pada Jumaat, rombongan ke Oslo itu tiba di Kuala Lumpur tanpa sebarang keputusan rasmi, namun Dr Ramlan yakin tidak akan ada perbezaan daripada keputusan ujian doping Sampel A yang dapati positif sebelum ini.

Dexamethasone merupakan sejenis steroid untuk rawatan perubatan dengan kesan anti-radang yang kebiasaannya digunakan dalam rawatan pemulihan atlet.Kajian menunjukkan dexamethasone bukan bahan untuk meningkatkan prestasi atlet. 

Ia biasanya digunakan untuk rawatan alahan, tindak balas alahan, masalah tulang dan radang yang kronik.

Chong Wei kemungkinan menggunakannya untuk mengurangkan kesakitan.


Chong Wei, doping

Artikel Lain