CAMERON HIGHLANDS: Isteri kepada mangsa kejadian tanah runtuh di Lembah Bertam di sini tidak menyangka kegusaran suaminya, Hanipan Saroni, berhubung hujan lebat yang turun pada 5 November lepas, menjadi kenyataan apabila lelaki itu mati tertimbus. Sunami Marzuki, 44, berkata, suaminya bimbang hujan lebat dan perkara buruk menimpa mereka pada malam kejadian. "Dia (Hanipan) berasa tidak sedap hati ketika bermalam di rumah kongsi yang kami diami, kerana hujan sangat lebat pada malam itu tidak seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Sabtu. Menceritakan detik cemas kejadian, Sunami berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya melihat suaminya yang berusia 48 tahun terkorban di depan mata. "Tanah telah mencecah paras lutut dan saya merangkak untuk selamatkan diri, apabila pandang ke belakang saya dengar dia mintak tolong dan melihat dia telah tertimbus, hanya tangannya sahaja yang terkapai-kapai," katanya. Katanya, kejadian berlaku begitu pantas dan dia berasa sangat sedih dan terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan suaminya. Dia berkata, tanah runtuh berlaku ketika mereka sedang tidur dan kedengaran bunyi runtuhan yang kuat di luar rumah. "Kami segera bangun untuk menyelamatkan diri tetapi suami saya tidak sempat melarikan diri kemungkinan kain pelekat yang dipakainya tersangkut menyebabkan dia sukar bergerak," katanya. Sunami berjaya menyelamatkan diri dan segera meminta bantuan daripada jirannya. Dia yang mempunyai dua orang anak berumur 22 tahun dan 17 tahun hasil perkahwinannya dengan Hanipan, berkata jenazah suaminya dibawa pulang ke Surabaya, Jawa Timur, Indonesia pada pukul 5.30 petang tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) untuk dikebumikan. "Segala kos penghantaran majikan saya yang tanggung dan saya juga pulang ke kampung selepas selesai proses imigresen," katanya yang sudah dua tahun tinggal di Malaysia. Mayat Hanipan ditemui tertimbus di rumahnya oleh pasukan penyelamat pada pukul 9.20 pagi, Khamis lepas dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk bedah siasat. Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat. Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam. Kejadian yang mengorbankan lima mangsa manakala lima lagi cedera turut menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru Ringlet dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.