KUANTAN: Polis menahan lapan lelaki dan dua wanita dipercayai bookie lumba kuda dalam serbuan di kawasan Taman Perindustrian Semambu dekat sini, Ahad. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 44 hingga 72 tahun itu ditahan dalam 'Ops Dadu Khas Bookie Kuda' yang bermula 3 petang hingga 7 malam. "Dalam serbuan itu juga polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM43,901 yang dipercayai hasil pertaruhan judi, sepuluh buah telefon bimbit, empat unit alat kelui pertaruhan, dua tablet dan dua buah mesin kira. "Turut dirampas buku jadual lumba kuda, dua keping surat khabar dipercayai untuk rujukan kegiatan mereka yang mengandungi jadual dan nilai pertaruhan, dua beg sandang serta 13 keping kertas catatan pertaruhan lumba kuda," katanya dalam sidang media di sini, Isnin. Beliau berkata, polis percaya mereka yang diberkas merupakan anggota kumpulan yang sama dan dipercayai aktif sejak dua minggu lalu. "Kita percaya mereka ini beralih kepada kegiatan bookie kuda selepas premis perjudian internet haram digempur polis sejak kebelakangan ini," katanya. Zakaria berkata, kesemua suspek direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM200,000 dan penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.