suria

Pasangan Warga Emas Ditahan Jual Nombor Ekor

Zundin Mahmood

TEMERLOH: Polis menahan sepasang suami isteri warga emas dipercayai terlibat dengan kegiatan menjual nombor ekor di rumahnya di Taman Bahagia di sini, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, warga emas masing-masing berumur antara 65 dan 63 tahun itu ditangkap pada 5.45 petang hasil intipan dan maklumat orang ramai.

"Pasangan tersebut yang telah dua tahun menjadikan kediaman mereka sebagai tempat menjual nombor ekor haram dipercayai turut mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket perjudian ekor haram di luar.

"Mereka dilaporkan mampu mengutip RM20,000 sehari dan anggaran purata pendapatan sehingga RM600,000 sebulan hasil kegiatan haram tersebut.

"Pasangan warga emas ini juga dipercayai turut memasang ejen untuk menjual nombor ekor haram di luar dan tidak menyimpan wang dalam kuantiti yang banyak di rumah untuk mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Zundin berkata, semasa ditangkap pasangan tersebut sedang leka berurusan dengan pelangggan.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai RM2,043, beberapa slip serta peralatan termasuk mesin faksimili yang digunakan untuk kegiatan haram itu.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Temerloh itu ditahan mengikut Seksyen 4A (A) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang membawa hukuman maksimum denda RM200,000 dan penjara 5 tahun, jika sabit kesalahan.


Artikel Lain