KUALA LUMPUR: Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (Pemanas 2014), yang bermula Khamis ini, akan membincangkan soal survival graduan Melayu dalam aspek pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan kehidupan secara keseluruhannya. Dianjurkan bersama oleh Biro Pendidikan Umno dan Sekretariat Kelab Umno Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, persidangan empat hari itu turut membincangkan soal penghayatan Wasatiyyah serta isu ancaman terhadap Islam pada masa kini. Ia juga bakal membicarakan peranan media baharu dalam senario politik negara serta penglibatan mahasiswa dalam pembentukan dasar kerajaan, kata Pengerusi Biro Pendidikan Umno, Senator Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah pada sidang media di Menara Dato' Onn di sini, Isnin. Beliau berharap semua 240 anggota perwakilan yang terdiri daripada mahasiswa di dalam dan luar negara, dapat mengemukakan pandangan, cadangan mahupun kritikan bagi menambah baik isu-isu berbangkit. "Penyertaan pemerhati dalam kalangan mahasiswa, pentadbir, pensyarah, ahli korporat dan ahli politik juga meningkat kepada 70 orang tahun ini," katanya. Bertemakan 'Mahasiswa Peneraju Transformasi Negara', Ibrahim berkata, pihaknya amat menggalakkan mahasiswa itu memberi pandangan dan pemikiran masing-masing pada Pemanas 2014, yang diadakan buat kali kedua sempena Perhimpunan Agung Umno. Persidangan itu akan mengetengahkan konsep persidangan ala Parlimen dan 'Select Committee'. Beliau berkata, empat pembahas terbaik akan dipilih mewakili suara mahasiswa untuk berbahas pada Perhimpunan Agung Umno tahun ini bagi merumus dan mengetengahkan fakta yang dibangkitkan dalam Pemanas 2014. Dua wakil itu akan berucap pada Perhimpunan Agung, manakala seorang wakil masing-masing akan berbahas pada Perhimpunan Agung Pemuda dan Puteri Umno. Mengenai aspek peremajaan Umno yang ditekankan Presiden parti yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ibrahim menegaskan Pemanas 2014 merupakan platform melatih pemimpin muda untuk menjadi lebih matang dan bersedia menyertai arena politik negara khususnya sebagai pelapis kepimpinan Umno. Selain persidangan itu, anggota perwakilan Pemanas 2014 akan melawat Parlimen Malaysia, Permata Pintar dan Pusat Asuhan Permata Negara untuk melihat dan menghayati sistem eksekutif negara. Barisan pemimpin Umno termasuk Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketua-ketua sayap dan beberapa anggota Majlis Tertinggi dijadual terlibat dalam program-program Pemanas 2014.