suria

Puteri Umno Dirombak Selepas Perhimpunan Agung - Mas Ermieyati

Mas Ermieyati (dua dari kanan) bersama timbalannya, Zahida Zarik Khan (kanan) dan Penolong Setiausaha Fahariyah Md Nordin (dua dari kiri) sebelum memulakan mesyuarat Puteri Umno, Selasa.

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno akan menyusun semula 23 bironya untuk memantapkan kedudukan sayap parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata, jumlah biro juga akan dikecilkan menjadi 15 sahaja dengan lebih memberi tumpuan kepada biro berkaitan kepentingan anak muda seperti latihan, penerangan, media baharu dan menarik keanggotaan baharu.

"Antara biro yang akan diberi penekanan selepas ini adalah keanggotaan dan daftar pemilih, penerangan dan pemidato, latihan dan pengkaderan, media sosial dan digital, ekonomi dan keusahawanan serta sukan, kebudayaan dan warisan.

"Kita akan buat rombakan selepas tamat perhimpunan agung ini dan akan memulakan gerak kerja yang dipecahkan kepada tiga fasa bermula pada tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pergerakan itu di sini, Selasa.

Perhimpunan Agung Umno yang bermula Selasa hingga Sabtu dimulakan dengan perhimpunan tiga sayap parti itu - Wanita, Puteri dan Pemuda.

Beliau berkata, pergerakan itu menyasar sebanyak 130,000 anggota baharu dalam tempoh tiga tahun ini dan ketua Puteri Umno di setiap negeri diberi tanggungjawab khusus bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

"Sehingga tiga hari lepas, kita mempunyai seramai 375,356 anggota dan usaha berterusan perlu dijalankan dengan berterusan bagi menambah keanggotaan kepada 500,000 orang menjelang 2018. Saya akan tukar mana-mana ketua Puteri Umno negeri yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Selain itu, kita turut melatih kira-kira 1,000 pemimpin Puteri di peringkat akar umbi untuk menjadi pemidato dan mereka juga ditugaskan untuk menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pembangkang terhadap polisi serta dasar kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai perhimpunan itu, Mas Ermieyati berkata, sebanyak 15 pembahas terdiri daripada seorang wakil mahasiswa dan seorang orang kelainan upaya (OKU) akan membahaskan ucapan dasar ketua Puteri Umno pada Rabu yang meliputi usul agama, politik, sosial, ekonomi dan pendidikan.

Selain itu, Puteri Umno juga akan membahaskan tiga ucapan anggota Majlis Tertinggi Umno iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Dr Mohd Puad Zarkashi.

rombak, Puteri Umno, biro

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain