suria

PAU 2014: PWTC Jadi Tumpuan

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mula dibanjiri perwakilan Umno dari seluruh negara yang akan berkampung selama lima hari di sini sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014.
  

Perhimpunan kali ke-68 ini menyaksikan penglibatan seramai 5,739 perwakilan dari 191 bahagian merangkumi 993 anggota perwakilan mewakili Pemuda, Wanita (992 anggota) serta 991 anggota lagi, Puteri.

Petugas Umno memeriksa beg yang akan diberikan kepada perwakilan yang hadir.

Tinjauan mStar Online  pada Selasa mendapati beberapa penambahbaikan peringkat akhir dilakukan oleh pihak penganjur bagi memastikan acara sepanjang PAU 2014 petang Selasa berjalan lancar.

Pelbagai persediaan dilakukan petugas dan urusetia perhimpunan serta kakitangan PWTC sejak awal pagi lagi.

Persiapan di dapur PWTC antara yang paling sibuk dimana Chef Eksekutifnya, Suzaini Mohamed Salih perlu menyediakan hidangan untuk perwakilan dan petugas media seawal pukul 2 pagi lagi.

"Boleh dikatakan kita bekerja tanpa henti selama 24 jam bagi memastikan hidangan untuk semua perwakilan dan petugas media disediakan tepat pada waktunya.

"Saya dibantu oleh 50 tukang masak bertauliah dan 150 pembantu untuk menyajikan menu terbaik sepanjang perhimpunan itu," katanya.



Hiasan di setiap dewan persidangan juga dilakukan dengan teliti di mana setiap penjuru akan diletakkan kain rentang yang tertera slogan 'Melayu Bersatu' selain bendera Umno yang menghiasi hampir keseluruhan ruang legar di setiap aras PWTC.

Tidak ketinggalan, peniaga turut mengambil peluang menjalankan perniagaan di gerai jualan yang disediakan di Dewan Pameran Tun Razak 3 yang menjadi tumpuan ramai pada setiap tahun, terutama menjelang saat-saat akhir sebelum tamatnya PAU.

Sebanyak 200 gerai jualan termasuk tapak pameran oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut dibuka sekali gus memeriahkan perkarangan PWTC

Salah seorang peniaga menunjukkan kerongsang Umno yang terdapat di gerai jualannya.

Tidak ketinggalan kehadiran seramai 1,452 petugas media dari 106 agensi media cetak dan elektronik dari dalam dan luar negara yang turut membuat liputan sepanjang PAU 2014 ini.

Masing-masing menggunakan pelbagai pendekatan untuk memastikan liputan menarik diberi kepada setiap isu dan program yang diketengahkan sepanjang perhimpunan ini.

Semua petugas media ditempatkan di Laman Media yang terletak di Aras 2, PWTC yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur dan elektronik untuk memudahkan proses liputan.

Seperti kebiasaannya, hidangan untuk sarapan, tengah hari, minum petang dan makan malam turut disediakan untuk semua petugas media.


Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Rauf Yusoh meninjau persiapan di Laman Media

Malah pada perhimpunan kali ini, seramai 95 wakil asing yang mewakili 27 parti dari 19 negara turut mengesahkan kehadiran ke persidangan parti itu, selain 84 perwakilan Kelab Umno Luar Negara turut menghadiri perhimpunan tersebut.

Mulai Selasa, suasana di PWTC makin meriah, terutama apabila perwakilan sayap mula mendaftar untuk persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri, sekali gus bermulanya perhimpunan tahunan besar-besaran ini yang penuh warna-warni serta hujahan pelbagai isu panas.

Pada pukul 8 malam nanti, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Timbalan Presiden Umno akan menyampaikan ucapan perasmian ketiga-tiga sayap di Dewan Merdeka, sebelum pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri meneruskan dengan sesi persidangan masing-masing pada Rabu.

PAU akan diteruskan pada Khamis iaitu acara kemuncak apabila Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan dan menyampaikan ucapan dasar presiden yang sudah pasti dinanti-nantikan setiap perwakilan, juga keseluruhan rakyat negara ini.

Seterusnya perwakilan akan membahaskan beberapa usul sebelum PAU berakhir pada Sabtu ini.
















PAU 2014, Umno

Artikel Lain