KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan dapat bertahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 jika Umno tidak dapat mengekalkan sokongan kaum Cina. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, adalah tidak bijak dan suatu strategi yang tidak baik untuk mengetepikan komuniti tertentu kerana BN memerlukan sokongan semua kaum jika mahu terus berkuasa. Hanya dengan cara itu katanya, Umno dapat terus progresif dan inklusif tanpa mengorbankan perjuangan untuk mendukung kepentingan dan hak orang Melayu. Perkara itu disampaikan Najib yang juga Presiden Umno pada sesi Taklimat Presiden kepaa lebih 5,000 perwakilan parti itu sempena Perhimpunan Agung Umno (PAu) 2014 pada Selasa. Mengulas perkara itu, Ketua Umno Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, setiap perkara tidak boleh dilakukan dengan mengikut fahaman dan fikiran tertentu semata-mata sekiranya BN mahu mendapat sokongan semua kaum pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Sebaliknya beliau berkata, ia seharusnya dilakukan dengan mempertimbangkan penerimaan semua rakyat termasuk kumpulan minoriti. "Untuk kita menang, kita kena lihat kumpulan minoriti walaupun sokongan pengundi Cina hanya 10 peratus. Tetapi kalau yang 10 peratus ini tidak menyokong Barisan Nasional, ini akan menyebabkan Umno turut kecundang dalam PRU akan datang. "Oleh itu, kita perlu adil dan saksama serta tidak melupakan kumpulan minoriti ini yang menjadi sebahagian daripada perubahan yang patut dilakukan sekiranya kita hendak lihat Umno sebagai tunggak atau inklusif dalam pentadbiran negara akan datang," katanya kepada mstar online di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa. Sementara itu, Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee turut menyuarakan pandangan mengenai taklimat presiden parti supaya mengutamakan bangsa lain memandangkan Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum. Beliau berkata, BN juga perlu mendapatkan undi daripada bangsa-bangsa lain sekiranya mahu memperoleh kemenangan dalam PRU akan datang. Sehubungan itu katanya, setiap perkara perlu dilakukan secara berhati-hati supaya ia tidak menyentuh sensitiviti kaum lain. "Kita perlu berhati-hati dalam apa jua perkara yang kita buat. Ini kerana kita juga mahu meraih kepercayaan bangsa yang lain dalam memberi sokongan kepada kita," katanya. Syed Ali yang merujuk tentang isu sekolah vernakular berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan untuk dipersoalkan pada masa ini memandangkan ia sudah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan di negara ini. "Sekolah vernakular dah lama berjalan, biarkanlah jalan. Kenapa nak halang lagi? Apa yang kita dah buat hari ini adalah untuk kita semua rakyat Malaysia. "Undi pun kita perlu raih daripada semua. Sokongan padu semua kaum ini yang kita perlukan (untuk BN menang dalam pilihan raya umum akan datang)," katanya. Pada sesi sama, Najib amaran keras kepada pemimpin Umno di semua peringkat supaya bekerja keras jika mahu melihat parti itu terus berkuasa selepas PRU ke-14. Gesaan Presiden Umno itu dilihat sebagai kemuncak kekecewaannya berhubung prestasi yang ditonjolkan Umno dalam tempoh lebih setahun selepas berakhirnya pilihan raya umum yang lalu. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kekecewaan Najib itu sudah mencapai tahap 'siling' dan ia ditujukan khusus kepada pemimpin parti yang masih mengambil sikap tidak peduli. "Presiden ada menyebut bahawa bangsa Melayu akan dibangsatkan jika Umno kecundang. Saya rasa, tidak pernah mendengar presiden parti berkata sedemikian. "(Kemarahan) presiden seolah-olah sudah sampai ke 'siling'. Kita dapat lihat kekecewaan beliau terhadap pimpinan yang lambat untuk bertindak kepada perubahan," katanya. Menurut Mohd Puad, Najib yang juga Perdana Menteri turut menegur secara mendalam mengenai kelemahan jentera Umno untuk terus bekerja bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu. "Presiden ada menegur bahawa jentera Umno masih dingin dan tidak ada usaha untuk wujudkan 'fear factor' bagi membangkitkan semangat luar biasa di kalangan ahli Umno," katanya.