suria

PAU 2014: Bukan Pentas Cari Gaduh, Tetapi Perjuangan Dalam Satu Pasukan

Badruddin Amiruldin

PERSOALAN yang mungkin bermain di fikiran ahli Umno dan seluruh rakyat menjelang perhimpunan terbesar parti Melayu ini adalah mengenai keterbukaan kepimpinannya untuk menerima kritikan dan teguran.

Pada masa sama, apakah perwakilan akan benar-benar didorong untuk meluahkan perasaan dan pandangan untuk kebaikan bersama, sekali gus menghangatkan sesi persidangan kali ke-68 ini.

Sebagai parti yang menunjangi Barisan Nasional (BN), Perhimpunan Agung Umno (PAU) dilihat sebagai medan penting untuk membawa suara rakyat terbanyak bukan sahaja untuk kepentingan ahlinya, malah kepada masyarakat berbilang bangsa secara keseluruhannya.

Lebih penting ia berlangsung ketika rakyat berhadapan pelbagai isu besar seperti pemansuhan subsidi bahan api, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta pemanshan Akta Hasutan 1968.

Jadi ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi kepada perwakilan Umno supaya lebih jujur dan kritis menegur kepincangan yang berlaku dalam Umno.

Pada tahap ini, pastinya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepimpinannanya sedar mengenai gelombang yang berlaku di peringkat bawah.

Bagi Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin, beliau mengakui sedar akan situasi ahli akar umbi khususnya yang menyasarkan untuk menggunakan pentas PAU sebagai gelanggang menyatakan perasaan marah dan tidak puas hati berhubung beberapa perkara.

Bagaimanapun katanya, perwakilan perlu melihat dalam konteks yang lebih luas ketika membahaskan pelbagai perkara termasuk isu-isu sensitif khususnya membabitkan agama dan perkauman.

"Ini bukan persidangan untuk bergaduh dengan orang, sebaliknya untuk mencambah pemikiran dan cari jalan terbaik untuk kemudian hari.

"Ini juga bukan pentas untuk maki hamun. Kita kena fikir ke arah yang lebih matang.

"Saya harap macam carik-carik bulu ayam. Berbaik-baiklah sesama kita...apa yang nak gaduh-gaduh sangat," katanya ketika ditemui mStar Online di PWTC pada Selasa.

Cakap-cakap di kalangan perwakilan bahawa 'nasihat' oleh kepimpinan Umno supaya semua pembahas lebih berhati-hati dan rasional ketika menyertai perbahasan sedikit sebanyak dilihat sebagai halangan kepada mereka.

Mengulas mengenai kemungkinan sesi perbahasan PAU 2014 akan dilihat bosan dan lesu tanpa isu-isu panas, Badrudin melihat dari sudut yang bebeza.

Katanya, perwakilan perlu bijak menyentuh isu-isu sensitif tanpa mencetuskan kontroversi serta melukakan hati pihak lain.

"Sebenarnya perbahasan boleh jadi berwarna-warni. Ada caranya, tapi kekalkan dalam perimeter yang sepatutnya.

"Jangan jadi terlampau bersemangat kerana bila terlalu semangat, kita akan marah orang...itu bukan caranya," katanya.

Menurut Badrudin lagi, sebagai sebuah parti yang matang, jurucakap Umno perlu bijak mengawal emosi walaupun dalam masa yang sama perlu mengutarakan pelbagai teguran termasuk membabitkan kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan.

"Bukan tak boleh bercakap tentang dasar pendidikan, hak orang Melayu atau tegur pemimpin, tetapi cara kita menyampaikan hujah itu biarlah berhemah. Tak ada gunanya kita mengguris hati orang lain. Hujah-hujah kita biarlah berhemah.

"Biarlah apa yang dikatakan nanti di terima pakai oleh perwakilan Umno dan seluruh rakyat. Jadikan ia sebagai satu ucapan yang mantap, membina dan menunjukkan kita berjuang dalam satu pasukan," katanya.

Apa yang pasti perwakilan Umno perlu menggunakan pentas tahunan ini sebaik mungkin tanpa hanya beretorik dengan kata-kata manis yang sedap didengar.

Ucapan yang terlalu berhati-hati dan selamat akan hanya merugikan semua pihak kerana kepimpinan di atas perlu tahu mengenai kedudukan sebenar rakyat di bawah.



Pengerusi Tetap Umno, PAU, Melayu, gaduh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain