Laporan itu menyebut kelulusan dasar pembayaran berjumlah kira-kira RM2.6 juta kepada pegawai kontrak berkenaan yang dilantik Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), tidak dikemukakan kembali kepada Lembaga Pengarah MBI untuk pertimbangan dan kelulusan.
"Ahli-ahli Lembaga Pengarah MBI tidak termasuk pengerusi MBI pada bila-bila masa selepas 25 Ogos 2014, tidak pernah memberi persetujuan secara muktamad bagi pelaksanaan pembayaran yang telah dibuat kepada lapan kakitangan ataupun pegawai terlibat sepertimana diputuskan Pengerusi MBI bertarikh 22 Sept 2014," kata laporan audit itu.
Laporan itu diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, dalam satu sidang akhbar di sini Rabu.
Pembayaran itu dibuat pada akhir tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebagai menteri besar sebelum Mohamed Azmin Ali mengambil alih pada 23 September lepas.
Abdul Khalid sebelum ini berkata pembayaran pampasan itu mengikut skim pemberhentian sukarela (VSS), mematuhi peraturan dan prosedur MBI Selangor.
Yeoh berkata, jika perlu laporan itu akan disiasat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor.