Menurut kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini, pelantikan Noor Rashid berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, kompetensi dan ciri-ciri kepimpinannya.
"Selaras dengan peruntukan fasal (4) dan (5), Perkara 140, Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenankan lantikan Noor Rashid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara," katanya.
Noor Rashid, 56, yang berasal dari Yan, Kedah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Universiti Malaya, memulakan perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP).
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah II, (Logistik/Teknologi Maklumat), Jabatan Logistik Bukit Aman; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Pesuruhjaya Polis Sabah.
Lantikan beliau bagi menggantikan Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin.