suria

Peniaga Online Wajib Daftar Dengan SSM - Ahmad Bashah

KUALA LUMPUR: Peniaga dalam talian atau online, termasuk di laman sosial Facebook dan Instagram, diwajibkan mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), persidangan Dewan Negara diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata perkara itu bagi memelihara dan melindungi hak pengguna daripada dieksploitasi dan ditipu oleh peniaga.

"Melalui Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna 2012, peniaga online juga diwajibkan untuk memaparkan nama perniagaan, nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat, alamat e-mel dan nombor telefon di laman web, Facebook atau Instagram mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2014 pada persidangan itu, di sini.

Perkara itu dibangkitkan Senator Shahanim Mohamad Yusoff yang ingin tahu antara langkah kementerian untuk melindungi pengguna dalam urus niaga secara dalam talian pada sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan.

Persidangan dewan kemudiannya meluluskan pindaan rang undang-undang berkenaan yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan pencegahan kegiatan penyelewengan barang kawalan dan subsidi.

Terdahulu, Rang Undang-undang Kewangan (No.2) 2014 turut diluluskan.

Persidangan dewan bersambung pada Khamis.

Artikel Lain