suria

Bekas Jurulatih PLKN Ditahan, Disyaki Rancang Laluan Baharu Ke Syria - KPN

Khalid Abu Bakar. - foto YAP CHEE HONG/The Star
PETALING JAYA: Seorang bekas jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kuantan, ditahan pada Rabu, dipercayai merancang untuk membuka laluan baharu kepada rakyat negara ini menyertai kumpulan militan digelar IS di Syria.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia 30 tahun itu yang berasal dari Terengganu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

"Polis percaya dia merancang untuk membuka laluan baharu bagi rakyat negara ini ke Syria dengan menjadikan Brunei sebagai transit. 

"Suspek juga merancang untuk berkahwin dengan seorang gadis rakyat Malaysia yang bekerja sebagai guru yang menetap di Brunei, sebelum berlepas ke Syria," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata, suspek berkenaan terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan di Syria selepas berinteraksi melalui Facebook dengan beberapa rakyat negara ini yang sudah ditahan polis.

Suspek juga pernah berhubung dengan Md Lotfi Mohd Ariffin, rakyat Malaysia yang terkorban di Syria pada 14 Sept lalu, bagi mendapatkan panduan untuk memasuki Syria melalui Turki, kata Khalid.

Dengan penangkapan terbaru itu, polis telah menahan 49 individu rakyat tempatan yang cuba menyertai atau membantu kumpulan militan IS.
Ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Balai League Table (BLT) 2014, Khalid mengulas bahawa siasatan terperinci akan dijalankan terhadap bekas jurulatih PLKN, bagi mengetahui sama ada suspek mempengaruhi pelatih PLKN.

Menyentuh mengenai majlis anugerah berkenaan, Ketua Polis Negara berkata BLT menjadi sebahagian daripada elemen kejayaan terhadap pengurangan jenayah indeks dan jalanan, sekali gus meningkatkan tahap persepsi masyarakat terhadap polis.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, polis telah berjaya mengurangkan sebanyak 12.6 peratus kadar jenayah indeks seperti curi, bunuh dan pecah rumah manakala, jenayah jalanan seperti ragut, samun secara berkawan menurun kepada 12.5 peratus.

"Kadar pengurangan jenayah tersebut adalah merangkumi 14 jenis jenayah dalam negara kecuali jenayah ragut yang menunjukkan peningkatan kes sebanyak 17 peratus di Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang," katanya.


IS, Khalid Abu Bakar, Syria

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain