KUALA LUMPUR: Sidang media Jawatankuasa Kerja MIC pada Khamis kecoh seketika selepas beberapa petugas media tidak dibenarkan masuk ke bilik mesyuarat di mana berlangsungnya mesyuarat yang menjadi isu sejak beberapa minggu lalu. Malah, keadaan bertambah buruk apabila sekumpulan ahli parti itu turut mencetuskan provokasi dan ingin turut serta pada sidang media berkenaan hingga berlaku insiden tolak-menolak antara petugas media dan ahli parti yang berpusu-pusu ingin memasuki bilik tersebut. Tindakan tersebut menyebabkan pintu bilik itu terpaksa ditutup, sekali gus meninggalkan beberapa petugas media di luar bilik berkenaan. Keadaan itu juga menyebabkan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menghentikan sidang media selama 15 minit kerana kekecohan tersebut. Bagimanapun, apabila keadaan kembali reda dan terkawal, sidang media diteruskan selama kira-kira 15 minit. Sebaik sahaja sidang media tamat, keadaan kembali tegang apabila ahli parti yang menunggu di luar bilik berkenaan dilihat berasak-asak dan cuba mencetuskan semula provokasi. Keadaan itu berlarutan sehingga di luar bangunan ibu pejabat parti itu. Situasi yang tiba-tiba semakin tidak terkawal itu memaksa Palanivel yang diiringi Timbalannya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dikawal ketat pihak berkuasa untuk keluar dari bangunan ibu pejabat MIC itu. Namun, keadaan berjaya dikawal polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berada di sekitar pekarangan bangunan itu sehingga kedua-dua pemimpin tertinggi parti tersebut beredar.