suria

Rumpai Miang Mexico Dikesan di Tiga Lagi Lokasi Di Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Pertanian dan Industri Makanan Sabah mengesahkan penemuan rumpai miang Mexico di tiga lagi lokasi di dua daerah di negeri ini.

Pengarahnya Idrus Shafie berkata rumpai itu ditemui di Lagud Seberang di Tenom dan dua lokasi di Keningau yang dianggarkan seluas 4,700 kaki persegi.
 
"Kami sedang menunggu laporan kalau ada penemuan (rumpai) yang disyaki di kawasan Gereja St. Benedict di Binaong dan Kampung Bunsit," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Idrus berkata pihaknya sedang menyiasat tentang kewujudan rumpai itu di dua lagi lokasi iaitu di Sipitang dan Tuaran.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak menyentuh tumbuhan itu jika menjumpainya dan membuat laporan kepada Jabatan Pertanian di daerah masing-masing bagi proses pembasmian.

Menurutnya, secara literasi pembiakan tumbuhan berkenaan dipercayai melalui angin, air, makanan ternakan, ternakan yang diimport serta jentera alatan pertanian manusia.

Sebuah akhbar setempat baru-baru ini melaporkan rumpai miang Mexico ditemui di Kampung Lasing, Ranau yang dipercayai menjadi punca kematian seorang warga emas yang mengalami sesak nafas selepas mencabut tumbuhan itu di halaman rumahnya pada 22 Oktober lepas.

rumpai miang Mexico, Sabah

Artikel Berikut

Artikel Lain