suria

Suami Isteri Hilang Dihanyut Arus Deras Setelah Bot Penyelamat Karam di Kemaman

Jambatan Teladas menghubungkan Kampung Teladas dengan Kampung Air Putih ditenggelami air selepas paras air Sungai Kemaman melebihi paras bahaya di sini, hari ini. -- fotoBERNAMA

KEMAMAN: Sepasang suami isteri hilang setelah bot penyelamat yang dinaiki mereka bersama tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta tiga lagi mangsa banjir terbalik dan karam di Kampung Geliga Che Akob di sini, Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Md Salleh Sarbini berkata mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Nur Hayati Sulong dan suaminya Suhaimi Awang.

Beliau berkata dalam kejadian 1.20 tengah hari itu bot berkenaan dalam proses memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan dan semua anggota serta mangsa menggunakan jaket keselamatan selain mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
 
"Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, bot yang dinaiki mereka terperangkap pada pusaran air dan menyebabkan bot yang dinaiki tiga anggota bomba dan lima mangsa banjir itu terbalik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut beliau tiga anggotanya cuba untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa namun arus air terlalu deras manakala tiga lagi mangsa dapat berenang ke tebing berdekatan. 

Md salleh berkata ketika ini gerakan mencari mangsa masih giat dijalankan.

Katanya operasi menyelamat melibatkan 20 anggota dengan bantuan beberapa agensi keselamatan lain kini diperluaskan ke Kuala Kemaman kerana bimbang mangsa dihanyutkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain