KOTA BAHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan menghentikan sementara operasi 510 pencawang elektrik utama di seluruh Kelantan berikutan banjir buruk di negeri ini. Pengurus Besarnya Md Yuslan Md Yusof berkata sehingga pukul 6 petang ini, pencawang yang telah dimatikan sementara itu adalah sebanyak 232 di Gua Musang, Kuala Krai (215), Tanah Merah (24), Jeli (19), Machang (12) Tumpat (lima) dan Kota Baharu (tiga). "Pencawang ini kita hentikan sementara tugas berikutan banjir dan akan disambung semula apabila keadaan kembali pulih," katanya kepada Bernama melalui aplikasi Whatsapp di sini, hari ini. Keadaan banjir di sembilan jajahan di Kelantan pada malam ini terus buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 27,153 orang berbanding 26,547 orang pada sebelah petang.