SEJAK mula bekerja saya menanam azam untuk menghantar ibu bapa menunaikan umrah, namun hasrat tidak kesampaian kerana bapa saya tidak bersetuju sebab saya belum berkahwin dan menyempurnakan rukun Islam kelima. “Simpan saja duit Ana. Mana tahu boleh guna untuk kahwin nanti,” kata bapa ketika saya melahirkan hasrat untuk menghantarnya menunaikan ibadat umrah. Saya akur. Namun setelah berkahwin, dikurniakan tiga cahaya mata dan menunaikan ibadat haji, saya tetap dengan hasrat yang terpendam. Saya mengerjakan ibadat haji pada 2000 dan lima tahun selepas itu saya menyatakan impian untuk membawa kedua-dua orang tua menunaikan ibadat umrah kepada suami. Alhamdulillah beliau memahami dan mengizinkan. Hati gembira bukan kepalang. Saya bersyukur kerana hasrat tercapai. Duit dihimpun berdikit-dikit untuk merealisasikan impian. Mereka sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Kedua-duanya sudah menyempurnakan ibadat haji dua kali tetapi selepas itu tidak lagi berpeluang ke sana. Kali terakhir bapa saya ke Makkah pada 1975 untuk menunaikan ibadat haji dan ini bermakna sudah 30 tahun beliau tidak berpeluang ke Tanah Suci. Manakala ibu saya pula kali terakhir ke Makkah pada 1988 dan ini bermakna sudah 17 tahun tidak menjejakkan kaki ke kota suci itu. Saya menyatakan hasrat hati untuk membawa mereka menunaikan umrah pada 2005. Terpancar kegembiraan dan kesyukuran pada wajah mereka. Saya terharu. Selain membawa ibu bapa, saya turut membawa anak sulung, Aliff, yang ketika itu berusia 12 tahun. Hari dinanti tiba. Bakal Tetamu Allah Menaiki Royal Brunei dan transit satu malam di situ selain berpeluang bersiar-siar ke destinasi pelancongan di negara berkenaan. Semua jemaah yang sebahagian besar berusia 50 tahun ke atas kelihatan ceria. Keesokkannya, penerbangan 10 jam dilalui, ibu bapa saya kelihatan teruja dan tenang kerana begitu lama tidak diundang sebagai duyufurrahman. Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, kami berangkat pula ke Madinah dengan sebuah coaster yang dipandu oleh Hassan, anak muda dari Yaman yang tidak tahu berbahasa Melayu. Hanya menggunakan isyarat tangan semata-mata. Hati agak gusar kerana melihat keadaan Hassan yang bermata bundar dan berkulit hitam manis memandu kenderaan dalam keadaan mengantuk. Berkali-kali dia dikejutkan oleh suara ibuku. “Hassan…Hassan…” teriak ibu di dalam coaster yang memuatkan kira-kira 11 jemaah. Terkejut dengan teriakan ibu, Hassan kembali membuka matanya yang kian rapat. Mata Hassan jelas dapat dilihat daripada cermin tengah coaster berkenaan. Setelah tujuh jam, akhirnya kami tiba di Madinah dengan selamat walaupun Hassan kelihatan begitu penat dan matanya semakin layu. Alhamdulillah. Selepas daftar masuk ke hotel selesai, saya tidak membuang masa untuk menziarahi Masjid Nabawi bagi mengerjakan solat berjemaah bersama-sama ibu, manakala bapa saya dan Aliff pula pergi bersama-sama jemaah lelaki yang lain. Aliff bersama datuk dan neneknya di Masjid Nabawi, Madinah. Bapa dan Aliff Hilang Pada hari kedua, usai solat Zuhur berjemaah, saya dan ibu menziarahi makam Rasulullah dan saya berpesan kepada bapa dan anak agar menunggu kami di dalam Masjid Nabawi kerana ziarah makam akan mengambil masa kira-kira satu jam. Ketika itu, tiada telefon bimbit. Jika ada pun, jemaah dilarang membawanya masuk ke dalam masjid. Setelah menziarahi makam baginda Rasul, saya dan ibu menuju ke pintu masuk lelaki di Masjid Nabawi untuk meminta pengawal di situ mencari bapa dan anak saya. “Selipar bapak dan Aliff dah tak ada,” saya mengadu kepada ibu. “Hah, tak ada? Mana nak cari ni. Masjid ni luas. Ya Allah, macam mana ni Ana,” ujar ibu saya dengan nada cemas dan wajah penuh kebimbangan. “Kita balik hotel dulu. Mungkin ada di hotel,” sambung saya menenangkan ibu yang jelas cemas. Kami berjalan agak pantas dengan keringat membasahi dahi. Bermacam perkara bermain di fikiran saya ketika itu. Di dalam hati saya memohon Allah permudahkan segala usaha saya mencari bapa dan anak. Saya juga risau dan agak menggeletar tetapi terpaksa menguatkan semangat semata-mata demi ibu saya. “Ana mesti cari sampai dapat. Nanti adik-adik bising,” pesan ibu saya merayu. “Iyelah, iyelah. Nanti Ana cari,” balas saya. Kebajikan datuknya sering menjadi perhatian utama Aliff sepanjang tempoh menunaikan ibadah umrah. Tiba di hotel, kami memerhati semua jemaah yang masih makan di dewan makan dan bertanya apakah mereka ternampak bapa dan anak saya. Semua menggeleng. Keadaan ibu saya semakin cemas. “Kenapa kakak? Kenapa Ibu? Apa yang boleh saya bantu?” tanya mutawif yang membimbing rombongan kami. Setelah menceritakan kehilangan bapa dan anak saya, mutawif itu mengajak saya mencari mereka, manakala ibu saya pula dinasihatkan supaya makan dan bertenang. Jemaah wanita yang lain berusaha menenangkan ibu saya dan mengajaknya makan. Saya dan mutawif berlari-lari anak menuju ke Masjid Nabawi. Mutawif memasuki ruang dalam Masjid Nabawi dan tidak sampai lima minit kembali menemui saya bersama-sama bapa dan anak saya. “Kakak, ini bapa dan anaknya. Mereka tidur berhampiran dengen deretan tong air zamzam,” katanya sambil tersenyum lebar. Saya mengucapkan Alhamdulillah dan terima kasih kepada mutawif itu. “Ibu risau sebab ingatkan bapa dan Aliff dah balik tapi sampai hotel, tak ada juga, Alhamdulillah, dah jumpa. Kalau hilang susah nak cari sebab Masjid Nabawi ni besar,” tutur saya sambil ketawa kecil di depan bapa. Mutawif mengajak kami singgah sebentar di kedai berhampiran untuk membeli dua pasang selipar kerana selipar mereka lesap di depan anak tangga pintu masuk ke masjid. Dalam perjalanan ke hotel bapa mengatakan terasa lama menunggu kami menziarahi makam dan Raudah. Sementara menunggu, beliau dan Aliff minum air zamzam di dalam masjid dan oleh sebab terlalu mengantuk, mereka terlena. Saya dan mutawif tersenyum sahaja mendengar cerita beliau. Ketika itu bapa saya berusia 73 tahun dan baru setahun menjalani angioplasti. Walaupun Aliff sudah berusia 12 tahun tetapi dia adalah anak istimewa dan pemikirannya seperti kanak-kanak berusia enam tahun. Beliau disahkan oleh doktor mengalami masalah pembelajaran dan ditempatkan di sekolah pendidikan khas. Tiba di hotel, bapa saya tersengeh saja memandang ibu saya. “Lah (Panggilan untuk bapa saya) pergi mana? Kenapa tak tunggu di dalam masjid?,” tanya ibu saya dengan nada agak hiba. “Ada dalam masjid. Tidur…” balas bapa saya sambil tersenyum. “Kesian Ana. Cari Lah ke sana ke mari,” sambung ibu terus. Bapa terus tersenyum lebar, manakala Aliff pula menyenduk makanan yang masih berbaki. Saya memandang mereka dengan kesyukuran. Gembira bercampur terharu. Tidak dapat membayangkan bagaimana jika mutawif tidak dapat menemukan bapa saya dan Aliff. Syukur kepada hadrat Ilahi. Itu semua adalah sebahagian ujian di Tanah Suci. Hanya seketika dan terlalu kecil berbanding dengan jemputan yang diperoleh untuk menjejakkan kaki ke Baitullah kerana menjanjikan ganjaran lumayan. Pesan saya, tanamlah azam dan terus berdoa untuk membawa ibu bapa mengerjakan umrah atau haji jika mampu. Biarpun jasa mereka tidak dapat kita balas walau mendukung mereka mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, namun, sekurang-kurangnya dapat membahagiakan mereka. Saya juga yakin, InsyaAllah, rezeki menjejakkan kaki ke Tanah Suci akan berterusan bagi mereka yang membawa ibu bapa mengerjakan ibadat umrah atau haji.