PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno mencadangkan supaya rancangan untuk sambutan tahun baharu di Putrajaya dibatalkan bagi menunjukkan keprihatinan terhadap keadaan banjir yang semakin buruk di beberapa negeri. Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, menggesa kerajaan supaya mengadakan majlis keagamaan dan kerohanian untuk berdoa di atas nasib yang menimpa mereka yang terjejas akibat bencana itu. Lebih 70,000 orang terpaksa dipindahkan berikutan keadaan banjir yang bertambah buruk di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Kedah dan Sabah. "Ini akan menunjukkan kerajaan dan para pemimpin prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi mereka akibat bencana ini," kata Irmohizam dalam satu kenyataan. Beliau mencadangkan supaya mereka yang beragama Islam mengadakan solat hajat dan doa selamat, manakala rakyat Malaysia yang lain boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing. "Saya berharap rakyat Malaysia dapat bersama-sama pada masa ini bagi menunjukkan sokongan terhadap kesukaran yang dihadapi oleh saudara-saudara kita. "Marilah kita berdoa supaya keadaan bertambah baik dan membolehkan keluarga dan mangsa yang terjejas akibat banjir dapat dipindahkan ke tempat yang selamat dan diberikan bantuan yang secukupnya," tambahnya. Rancangan untuk mengadakan sambutan Tahun Baharu 2015 termasuk konsert dan pertunjukan bunga api akan diadakan di Dataran Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya pada 31 Disember ini.