KUALA LUMPUR: "Kemunculan saya dan Menteri Kesihatan memecah kebuntuan rasa. Betapa sedih dan hiba saya mendengar tangisan dari sudut hati mereka, sungguh menyentuh hati setiap insan dan jiwa". Demikian luahan rasa Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdulah setelah mengadakan lawatan ke Hospital Kuala Krai bersama Datuk Seri S. Subramaniam. Mereka ke sana menaiki helikopter untuk memantau proses pemindahan pesakit yang terperangkap akibat banjir. Berkongsi pengalaman lawatannya melalui laman sosial Facebooknya, Dr Noor Hisham melahirkan rasa terharu terhadap keikhlasan dan nilai murni kakitangan perubatan hospital itu yang masih dapat memberi rawatan terbaik kepada pesakit. "Warga KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bertugas tanpa henti selama 5 hari (tanpa bekalan elektrik dan air) adalah seramai 180 orang dan raut wajah mereka jelas kepenatan tetapi cuba menyembunyikan seribu satu persoalan. "Rasa kerisauan, ketakutan dan ketidakpastian apabila anggota keluarga mereka turut putus hubungan sama sekali dan harta benda juga terlibat dalam banjir...Namun mereka masih mampu bersedia membantu," katanya dalam laman sosial Facebooknya. Katanya semasa lawatan itu, kakitangan hospital telah berjaya memindahkan 38 lagi pesakit tenat ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dengan helikopter. Ada pesakit menggunakan bantuan pernafasan. "Kami juga berjaya memindahkan seorang pesakit yang tenat dalam bantuan pernafasan dan dua bayi pada hari sebelumnya dan juga memastikan keperluan harian mencukupi. "Walau bagaimanpun dua lagi pesakit tidak dapat dipindahkan pada hari itu (26 Dis) dan akan dipindahkan keesokan hari," katanya. Dr Noor Hisham berkata sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat kecemasan bagi membincangkan penyelarasan sambungan pemindahan pesakit-pesakit tenat dari Hospital Kuala Krai ke hospital di Lembah Klang dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, serta penghantaran bekalan makanan, air dan ubat-ubatan menggunakan helikopter. "Tindakan awal KKM adalah untuk memastikan Hospital Kuala Krai dapat berfungsi seperti biasa dengan menghantar 1,000 liter diesel untuk kegunaan "generator" setelah TNB (Tenaga Nasional Berhad) mematikan kuasa elektrik akibat banjir," katanya.