PETALING JAYA: Rakyat di negara ini yang gemar melancong boleh menarik nafas lega kerana bayaran untuk membuat atau memperbaharui pasport mereka selama lima tahun kini berharga RM200, diturunkan sebanyak RM100, berkuat kuasa Khamis. Bayaran pasport untuk warga emas, kanak-kanak dibawah umur 12 tahun, jemaah haji dan pelajar dibawah umur 21 tahun dan belajar di luar negara adalah sebanyak RM100. Sebelum ini, warga emas dan pelajar yang mengikut pengajian di luar negara perlu membayar RM150 untuk pasport selama lima tahun. Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak dikenakan bayaran untuk perkhidmatan tersebut. Notis arahan terbaharu itu ditampal di luar pejabat Imigresen pada Khamis. Dengan pengurangan bayaran untuk pasport lima tahun, pasport untuk tempoh dua tahun tidak ditawarkan lagi.